Terengganu International Paramotor Challenge himpun peminat sukan udara

Terengganu International Paramotor Challenge himpun peminat sukan udara


Pemandangan indah di sekitar Dataran Drawbridge ketika Terengganu International Paramotor Challenge berlangsung.

[DIKEMAS KINI] PENGANJURAN Terengganu International Paramotor Challenge di Dataran Drawbridge di sini berjaya menarik seramai 20,000 pengunjung serta 26 peserta dari seluruh negara.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran acara yang pertama kali diadakan itu bertujuan untuk mempromosikan sukan udara kepada masyarakat khususnya generasi muda sebagai pelapis sukan paramotor.

“Penganjuran program seperti ini akan memberi ruang kepada masyarakat secara menyeluruh untuk mengenal sukan udara sebagai salah satu sukan pilihan di kalangan penggiat sukan lasak di Malaysia.

“Kerajaan negeri mahu adakan program yang luar biasa serta memberi cabaran kepada anak-anak muda di Terengganu bagi melihat sendiri sukan paramotor ini secara lebih dekat.

Antara aksi para peserta.

Antara aksi para peserta.

“Insya-ALLAH… kita bercadang jadikan acara ini sebagai acara pelancongan sepanjang tahun untuk tahun hadapan malah rancang program itu dilaksanakan pada bulan Mei atau Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu International Paramotor Challenge di Dataran Drawbridge di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Razali berkata, sukan permotoran itu juga berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu elemen pelancongan negeri sekali gus akan meningkatkan ekonomi tempatan.

“Program berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Oktober itu berjaya menarik kehadiran seramai 20,000 pengunjung dan ia merupakan permulaan sangat bagus bagi sesebuah acara yang baharu pertama kali diadakan.

“Selain itu, pemilihan lokasi penganjuran juga di kawasan Dataran Drawbridge yang sememangnya sangat cantik kerana dapat melihat pemandangan indah Jambatan Angkat yang merupakan suatu mercu tanda ikonik di Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai acara yang bakal diadakan pada Monsun Timur Laut (MTL), Razali menyatakan pihaknya telah merancang beberapa acara diadakan sepanjang musim tersebut berlangsung.

Pemandangan dari atas ketika melakukan akriviti sukan paramotor.

Pemandangan dari atas ketika melakukan akriviti sukan paramotor.

“Kita memberi tumpuan untuk adakan beberapa acara di Tasik Kenyir termasuk Monsoon Casting memandangkan kawasan peranginan di pulau akan ditutup sempena musim tersebut.

“Selain itu, kita turut merancang untuk mengadakan semula acara Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud.

“Kita usahakan untuk adakan program berkenaan sekurang-kurangnya pada tahun ini menerusi kerjasama mana-mana penganjur yang berminat untuk adakan acara larian itu tidak kira di Jambatan Sultan Mahmud atau Jambatan Angkat,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top