Terengganu Turtles sasar tiga terbaik STL 2025

Terengganu Turtles sasar tiga terbaik STL 2025


TERENGGANU Turtles menyasarkan untuk menamatkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di kedudukan ketiga, sekali gus memperbaiki pencapaian musim lalu yang berakhir di tangga kelima.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kekuatan dan keseimbangan yang dimiliki skuad musim ini yang menampilkan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda.

Menurutnya, keyakinan itu turut diperkukuh dengan kehadiran perejam import dari Thailand, Kittipong Jaibon yang bakal bergandingan dengan dua pemain kebangsaan – Muhammad Zulkifli Razak selaku tekong dan Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi di posisi perejam.

“Selain itu, dua apit kiri musim lalu, Muhammad Zulhusni Basri dan Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin turut dikekalkan manakala pasukan turut diperkuat dengan kemasukan bekas ‘killer’ Melaka Titans, Mohd Khairol Zaman Hamir Akbar serta tekong Malaysia B, Muhammad Amar Roslan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperkenalkan Pemain dan Penajaan Pasukan Sepak Takraw Terengganu pada Khamis.

Tengku Zaihan berkata, Terengganu Turtles yang dikendalikan jurulatih Mohd Faisal Muhamad, diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama juara Divisyen Satu, Melaka Titans, dan juara STL musim lalu, Negeri Sembilan Antlers, bagi Grand Prix pertama di Terengganu dari 17 hingga 21 Jun ini.

Namun begitu, katanya, cabaran tersebut tidak menggoyahkan semangat juang pasukan, malah dianggap sebagai pembakar semangat untuk mencatat keputusan cemerlang di laman sendiri.

“Bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada kami dan kami yakin mampu muncul pencabar utama pada kejohanan yang bakal bermula Selasa ini,” jelasnya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top