BEKAS pemain kebangsaan, Mohammad Gopi Rizqi tidak menyangka jualan air yang diusahakannya secara kecil-kecilan sempena Ramadan mendapat sambutan luar biasa selepas tular dan menarik perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Gopi, 36, berkata, pada awalnya dia hanya menjual 30 bungkus air pada hari pertama Ramadan, namun selepas perniagaannya tular, dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.
“Apa yang lebih mengejutkan, TMJ menerima saya menghadap baginda di Johor Bahru.
“Perasaan saya ketika itu bercampur-baur gembira dan terharu,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Api-api di sini pada Sabtu.
Tambah Gopi, jualan air ini hanya dilakukan secara sambilan sepanjang bulan Ramadan sementara menunggu kontrak baharu untuk kembali beraksi dalam saingan Liga M3 Malaysia.
Gopi tidak menang tangan melayani pelanggan yang tidak putus- putus ke gerainya.
“Sekarang ini, liga sudah tamat, jadi saya menunggu tawaran baharu. Jika ada rezeki, saya akan kembali beraksi dalam liga. Saya masih aktif bermain bola sepak dan menanti mana-mana pasukan yang berminat menawarkan kontrak kepada saya.
“Dalam masa yang sama, saya gunakan peluang ini untuk berniaga dan mencari pengalaman baru. Alhamdulillah, jualan air ini mendapat sambutan hangat dan saya sangat bersyukur,” katanya.
Gopi mencipta nama bersama Sri Pahang sebelum berhijrah ke beberapa kelab termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) (2017-2018) dan Melaka United (2018).
Dalam pada itu, jualan air balang Gopi menarik perhatian peminat bola sepak dari luar daerah yang tidak mahu melepaskan peluang bertemu pemain kesayangan mereka itu.

Dua peminat cilik tidak melepaskan peluang mendapatkan tandatangan Gopi.
Zafarullah Abdullah, 42, dari Gelang Patah mengakui teruja dapat bertemu Gopi yang sebelum ini hanya dilihat di televisyen.
“Saya seronok dapat bertemu Gopi Rizqi. Saya sering ikut perkembangannya kerana dia pemain cukup lincah di padang.
“Dahulu saya hanya melihat dia bermain di atas padang, tetapi hari ini saya boleh berbual dengannya secara langsung sambil membeli air jualannya,” katanya.
Ruslee Ishak, 52, dari Teluk Kerang di sini, berkata, sambutan yang diterima Gopi membuktikan pemain itu masih mempunyai ramai penyokong yang sentiasa menyokongnya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Ruslee (kiri) bersama keluarga merakam gambar dengan Gopi.
“Kalau kita lihat, ramai pelanggan yang datang bukan sekadar membeli air, tetapi juga mahu berjumpa dan bergambar dengan Gopi.
“Itu menunjukkan dia masih mempunyai peminat setia yang menghargai jasa dan bakatnya dalam bola sepak,” katanya.