am@hmetro.com.my
Seremban: Suami isteri terpaksa ditidurkan selepas dikatakan lemas akibat terhidu bau asap dalam kebakaran di rumah mereka dekat Taman Permai Impian di sini, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pada 2.30 pagi itu, 70 peratus rumah pasangan berkenaan hangus dijilat api selain kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.33 pagi.
“Sepasukan petugas dari BBP Seremban 2 dibantu BBP Seremban bergegas ke lokasi. Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 126 meter persegi.
“Kebakaran memusnahkan 70 peratus rumah sebelum berjaya dikawal pada 2.57. Kebakaran juga turut membabitkan kereta yang terbakar 50 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, terdapat lima mangsa iaitu tiga anak dan suami isteri dalam kejadian itu.
“Dua mangsa iaitu suami dan isteri mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh pasukan keluaran operasi (PKO) dan diserahkan serta dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) oleh pihak perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Briged Negaraku Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, ibu bapa kepada tiga anak itu kini berada dalam keadaan kritikal.
“Suami berusia 33 tahun dan isteri berusia 37 tahun itu kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana dipercayai terhidu bau asap dan terpaksa ditidurkan. Mereka tidak mengalami lecur.
“Tiga anak lelaki mereka berusia tiga, tujuh dan 11 tahun juga dirawat di hospital sama. Keadaan mereka stabil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd