Memerik laporan daripada Berita Harian, perkara itu telah dinyatakan Pengurus Kewangan CIMB Bank Cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Menurut saksi pendakwaan kedua itu, beliau memfailkan laporan Suspicious Transaction Report (STR) kepada ibu pejabat bank untuk diserahkan kepada BNM selepas sistem mengesan petanda amaran pada akaun berkenaan.

Transaksi luar biasa dan tak konsisten
Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, Hui Nee bersetuju bahawa dari 2020 hingga 2021 tiada mana-mana penandatangan akaun BERSATU memaklumkan kepada pihak bank untuk menghentikan kemasukan wang.
Menjelaskan bagaimana sesuatu akaun boleh ditandakan mencurigakan, saksi itu berkata, “akaun yang ada transaksi jumlah yang sangat tinggi (high volume) dan tidak konsisten dengan profil akaun.”
Beliau juga berkata sistem bank akan menandakan akaun tersebut sebagai red flag sebelum pihak cawangan membuat semakan dan memfailkan laporan STR kepada pihak berkaitan.

Kekerapan masuk jumlah tinggi
Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana terdapat kekerapan kemasukan wang dengan jumlah yang sangat tinggi ke dalam akaun terbabit.
Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksi, Hui Nee berkata selain Muhyiddin, pemohon bagi pembukaan akaun itu adalah Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Kamarulzaman Habibur Rahman dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Katanya, pada 1 Disember 2020 pemegang akaun bertukar kepada Muhyiddin, Ahmad Faizal Azumu, Hamzah Zainudin dan Mohamed Salleh Bajuri.

Artikel lain: Akaun FB BERSATU gesa Muhyiddin letak jawatan, kini faham punca ‘kerajaan 2018’ tumbang
Saksi turut memaklumkan wang berkenaan dimasukkan ke akaun bank semasa parti antara 24 Ogos 2021 hingga 11 November 2022, termasuk RM4 juta oleh Azman Yusoff dan RM1 juta oleh syarikat Mamfour.
Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Hui Nee berkata STR akan dikeluarkan setiap kali pihak bank mengesan red flag pada sesuatu akaun.
“Oleh itu, kewajipan bank adalah untuk menyerahkan laporan kepada BNM,”
Ketika ditanya sama ada bank mempunyai kuasa untuk menghalang wang daripada dimasukkan ke akaun BERSATU, saksi itu menjawab, “tidak boleh.”
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian adalah Perdana Menteri dan Presiden BERSATU berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa serta tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang dimasukkan ke akaun bank milik BERSATU antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.






