‘Terima kasih pemain sanggup datang bermain’ – Jurulatih Kelantan

‘Terima kasih pemain sanggup datang bermain’ – Jurulatih Kelantan


Pemain Perak FC, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (kanan) diasak pemain Kelantan Darul Naim FC pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung hari ini. – Foto Bernama

PENOLONG Jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya tidak menyalahkan pemain walaupun pasukan itu dibelasah 0-7 oleh Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Ahad.

Sebaliknya, beliau mengucapkan terima kasih kepada para pemain yang sanggup datang bermain menentang Perak walaupun pasukan tersebut sedang berdepan masalah tunggakan gaji.

Menurutnya, sudah lama pasukan itu tidak berlatih bersama dan beliau hanya bertemu para pemain sehari sebelum perlawanan.

“Seperti yang kita tahu keadaan pasukan tidak begitu baik. Saya pun baru jumpa pemain semalam dan kita sudah lama tidak menjalani latihan bersama.

“Saya akui keadaan (kecergasan) pemain juga tidak begitu baik. Kita bermain dengan pasukan yang bagus seperti Perak, cuba untuk bertahan, mengurangkan defisit jaringan, tetapi ia tidak berlaku.

“Apapun saya memberikan penghargaan kepada pemain yang sanggup datang bermain,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Sebelum ini, KDN FC didakwa mengalami masalah tunggakan gaji dan para pemain telah memboikot latihan.

Bagaimanapun, Rezal turut memuji kesungguhan para pemain untuk memberikan saingan kepada Perak walaupun gawang mereka dibolosi tiga gol dalam tempoh 24 minit perlawanan.

“Selepas gol tersebut pemain masih boleh memberikan saingan dan masuk separuh masa kedua, kita tahu kondisi pemain macam mana dan terpaksa buat beberapa pertukaran pemain untuk seimbangkan perlawanan.

“Tetapi, Perak sentiasa menggunakan kesempatan hasil peluang yang mereka cipta untuk jaringkan gol,” katanya.



Source link

OR