Qabil Irfan selepas menawan Litar Estoril. Foto ZK Racing
PELUMBA muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan menyifatkan percaturan taktikal membolehkannya mengungguli perlumbaan di Litar Estoril, Portugal, pada Ahad.
“Masa perlumbaan tadi saya cuba untuk lari awal dan cuba untuk manage pace saya dan, alhamdulillah syukur saya menang. Terima kasih semua,” katanya yang dijadualkan mengharungi satu lagi perlumbaan di Jerez, Sepanyol pada November.
Qabil Irfan sebelum itu mempamerkan tunggangan konsisten sejak awal musim tampil cemerlang perlumbaan 2 pusingan keenam di Estoril apabila berjaya mengekalkan rentak perlumbaan dari awal hingga akhir untuk memastikan kemenangan mutlak mengatasi dua pelumba Sepanyol, Oliver Cantos dan Iza Rodriguez.
Kemenangan itu menyaksikan pelumba Frando Racing VHC Team Liqui Moly kelahiran Terengganu tersebut memahat sejarah gemilang apabila muncul juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Kategori Talent 2025 (252 mata) selepas mendominasi perlumbaan di Litar Estoril meninggalkan pesaing terdekat dari Switzerland, Alessio Arnold (191 mata)
Qabil Irfan juga menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan bersejarah itu sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak menyokong kariernya.
“Alhamdulillah syukur, sudah selesai perlumbaan di Estoril dan saya nak ucapkan terima kasih kepada sponsor saya KBS, SIC Racing dan Terengganu Inc, ZK Racing dan RCB yang banyak sponsor dan support saya.
“Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia dan rakyat Terengganu yang selalu support saya,” kata pelumba itu.
Ringkasan AI
- PELUMBA muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan, berjaya mengungguli perlumbaan di Litar Estoril, Portugal
- Qabil berusaha untuk mengurus ritme lumbanya sejak awal untuk membolehkannya menang
- Beliau memenangi perlumbaan dengan memastikan kemenangan mutlak mengatasi dua pelumba Sepanyol
- Mencatat sejarah sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Kategori Talent 2025
- Menzahirkan rasa syukur atas kemenangan dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong kariernya