Pelakon Rita Rudaini sekali lagi menyorot perhatian apabila seorang individu tampil mempertahankan tindakannya susulan isu nafkah anak yang didakwa diterima sejak sekian lama.
Menerusi hantaran di Threads, individu berkenaan mendakwa bekas suami Rita hanya memberikan nafkah berjumlah RM3,000 secara ‘all in’, manakala kos lain termasuk pendidikan anak-anak ditanggung sepenuhnya oleh pelakon itu.
“Bekas husband Rita Rudiani nafkah anak bagi RM3000 all in. Sekolah international Rita tanggung.
“Belum masuk keperluan lain… Sebab tu lah @ritrud727 meroyan sampai sekarang,” kata individu berkenaan menerusi hantran di Threads.

Sedar dengan hantaran berkenaan, penerima Anugerah Ibu Ikon Malaysia 2024/2025 tampil menjelaskan, jumlah nafkah tersebut diputuskan berdasarkan kemampuan bekas suami yang dimaklumkan sendiri kepada mahkamah ketika anak-anak mereka masih kecil.
“RM3000 ikut kemampuan dia yang dia mintak dekat court untuk tanggung susu, pampers dan makanan anak-anak sahaja yang masa tu umur satu tahun dan tiga tahun. Keputusan pun atas masa umur anak-anak waktu tu.
“Yang lain dia taknak tanggung sebab katanya tak mampu walaupun masa tu dia ke Mahkamah sebagai pemain JDT. Dari atas sampai bawah branded,” jelasnya.
Tidak habis disitu, Rita juga menafikan dakwaan kononnya dia menghalang bekas suami daripada bertemu kedua-dua anaknya.
“Tak payah buat cerita tak bagi tengok anak. Saya setuju datang tengok anak-anak setiap minggu kenapa tak buat?
“Bila anak dah besar dan tak nak jumpa, jangan nak fitnah mak dia pula ye. Terima je balasan Allah. Itu baru di dunia, anak-anak tak mau,” tegasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet tampil mempertahankan aktres itu sekali gus berkongsi pengalaman sama berdepan situasi berkenaan.









