am@hmetro.com.my
Belaga: Seorang lelaki maut dihempap kenderaannya sendiri selepas pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter, di Jalan Jiwa Murni di sini, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Willie Blata, 48, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataan malam ini, berkata ketika kejadian mangsa memandu bersama lima lagi penumpang.
“Lima penumpang lain berjaya dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Belaga untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pasukan menyelamat dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga yang bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang.
“Pasukan bomba menggunakan kenderaan Fire Response Vehicle (FRV) mengalihkan 4WD berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang dihempap kenderaan itu.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd