Terkehel bahu kiri selepas berlakon babak aksi

Terkehel bahu kiri selepas berlakon babak aksi


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon baharu, Evertts Gomes, 25, terkehel di bahu kiri ketika melakonkan babak aksi dalam penggambaran drama Thariq Ridzuwan : His Treasure, baru-baru ini.

Evertts yang juga finalis Hero Remaja 2023 berkata, dia juga terpaksa mendapatkan bantuan ‘stuntman’ (pelakon aksi lagak ngeri) untuk membetulkan semula kedudukan bahunya itu sebelum meneruskan penggambaran.

Katanya, itu antara kecederaan paling teruk pernah dialaminya ketika melakonkan babak aksi.

“Bahu saya terkehel semasa ‘fight scene’ (babak aksi). Nasib baik ada ‘stuntman’ yang membantu di set.

“Saya teruskan juga penggambaran hingga selesai walaupun dalam keadaan menahan sakit. Sampai sekarang pun saya belum sempat mendapat rawatan di hospital sebab jadual saya agak padat,” katanya.

Evertts yang juga pelakon drama Kelas Tahanan Cikgu Hiragi itu, ia bukan kali pertama dia mengalami kecederaan di lokasi penggambaran.

Katanya, dia pernah terkena serpihan kaca masuk ke mata selepas sebuah lampu dipecahkan di set penggambaran drama lain sebelum ini.

“Masa tu saya disuruh membasuh mata dengan air dan titiskan ubat sebelum sambung balik berlakon.

“Walaupun sakit, saya cuba habiskan juga babak sebab tak nak ganggu momentum penggambaran,” katanya.

Ditanya babak aksi lagi, Evertts yang memiliki pengalaman dalam seni bela diri campuran (MMA) berkata, dia lebih selesa melakonkan sendiri babak aksi tanpa bantuan pelakon aksi lagak ngeri.

Katanya, setiap insiden yang berlaku menjadi pengajaran buatnya untuk lebih berhati-hati selepas ini.

“Saya juga sedar pentingnya aspek keselamatan di set kerana tidak memiliki insurans peribadi.

“Saya akan teruskan buat babak aksi sendiri selagi saya berasa okay dan kecederaan tak teruk sangat. Macam ibu saya pernah pesan, kalau kecederaan tu jauh dari jantung, teruskan saja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top