Penyanyi, Umairah mengakui keputusan untuk berhijab datang tanpa diduga selepas berdepan detik cemas apabila adiknya, Amad Dayyan, dipercayai ketika berdepan gangguan ‘mistik’ sehingga tiba-tiba jatuh sakit ketika menyertai program realiti Talk To My Manager (TTMM).
Menurut Umairah atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 18, kejadian itu memberi kesan mendalam sehingga membuatkan dirinya terbuka hati untuk menutup aurat sepenuhnya.
“Sebenarnya semua ini bermula selepas insiden yang menimpa Amad. Saya teman dia berubat dan entah kenapa, masa tu hati saya tiba-tiba rasa nak bertudung.
“Lepas kejadian tu, ada satu hari saya rasa tak lengkap bila tak pakai tudung. Saya tak tahu kenapa, tapi hati kuat sangat nak pakai. Lepas program TTMM habis, esoknya saya terus pakai tudung… dan tiga hari berturut-turut saya rasa tenang sangat,” katanya.
Umairah yang juga anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini berkata demikian ketika ditemui di Balai Berita Bangsar, baru-baru ini.
Pelantun lagu Sayap itu berkata, selain insiden berkenaan, kehadiran anak kepada penyanyi Ina Naim, iaitu Phyrosh Elfadwah, juga menjadi asbab hatinya semakin kuat untuk berubah.
“Sepanjang TTMM, saya sebilik dengan Elfadwah. Setiap kali pandang wajah dia yang bertudung, saya rasa satu ketenangan yang susah nak digambarkan.
“Dia pun banyak beri semangat. Katanya, ‘Umai pakailah tudung, sebab Umai nampak cantik bila bertudung’. Saya rasa Allah kirimkan dia untuk jadi penguat semangat saya,” luahnya.
Mengulas tentang reaksi ibunya, Siti Sairah, Umairah berkata wanita itu menyambut baik perubahan dirinya dan mendoakan agar anaknya terus istiqamah.
“Saya pernah tanya ibu, ‘boleh tak kakak nak pakai tudung?’. Saya pinjam tudung ibu dulu. Lepas tu satu pagi, ibu tanya, ‘kakak betul-betul nak pakai tudung ke?’. Saya terus jawab ‘ya’,” tuturnya lagi.





