Terperangkap di sebalik layar gajet

Kuala Lumpur: Terlalu ikutkan rasa, terlalu ikutkan trend, maka kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri tidak dipedulikan. Akibatnya, kesihatan badan merosot sedikit demi sedikit. Universiti Kebangsaan Malaysia and Universiti Pertahanan Nasional Malaysia melaporkan 80% pelajar mengalami masalah berkaitan penglihatan disebabkan penggunaan gajet yang melampau semasa tempoh PKP. 60% daripadanya turut menghadapi masalah rabun mata. Bahkan, disebabkan penggunaan masa layar yang terlalu banyak, sesetengah pelajar semuda tujuh tahun telah diberikan kanta pemulihan untuk membantu meningkatkan daya penglihatan.

Dr Azura Ramlee, pakar oftalmologi atau perubatan mata daripada Prof Muhaya Eye & Lasik Centre (PMELC), mengingatkan bahawa penggunaan gajet elektronik yang keterlaluan boleh membantutkan perkembangan emosi dan mental, selain meningkatkan risiko rabun dekat pada usia yang terlalu muda kerana mata anak-anak kecil masih dalam tempoh pertumbuhan. Apabila layar gajet ditatap terlalu lama, ia boleh mengganggu perkembangan visual, terutama apabila menggunakannya pada jarak dekat.

Di samping masalah penglihatan, anak-anak dikesan menghadapi sakit kepala, leher dan bahagian belakang badan yang kerap, kedudukan badan yang tidak betul dan juga gangguan waktu tidur. Gejala-gejala kesihatan yang semakin terserlah ini berkait rapat dengan penggunaan gajet yang melampau.

 

Bukan setakat kesihatan fizikal

Nampaknya, penggunaan gajet yang keterlaluan bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal, malah menyumbang kepada masalah kesihatan mental. Banyak kajian membuktikan terdapat hubungan kuat antara penggunaan alat peranti digital dengan kesihatan mental, semakin tinggi gajet digunakan, maka semakin tinggi penyakit mental yang dihadapi. Antaranya ialah kebimbangan, lekas marah atau bagi anak-anak kecil mudah meragam, ketidakseimbangan emosi dan fokus pembelajaran yang rendah.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada tahun 2017 mendapati 29% anak-anak muda di Malaysia boleh dikategorikan sebagai penagih internet. Dalam pada itu, satu kajian pada tahun 2022 mendedahkan 13.7% anak-anak muda di Semenanjung Malaysia menghadapi buli siber di dalam dunia maya. Dr Zhooriya Sehu Mohd, pensyarah kanan dan pakar psikologi positif di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), menyatakan penggunaan gajet yang keterlaluan memberi kesan besar kepada kesejahteraan hidup anak-anak muda, terutamanya rasa terputus hubungan sesama ahli keluarga sendiri. Situasi ini disokong oleh sesetengah ibu bapa kerana mereka berasa kehilangan apabila anak-anak menjadikan gajet mereka sebagai pendamping yang berterusan.

Isu kesihatan akibat penggunaan gajet yang keterlaluan ini juga dibincangkan oleh para penyelidik di peringkat antarabangsa. Satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Preventive Medicine Reports mengesahkan anak-anak yang menggunakan gajet lebih daripada 7 jam sehari mempunyai keberangkalian dua kali ganda dikenal pasti menghadapi masalah kebimbangan atau kemurungan. Lebih membimbangkan lagi, bagi kanak-kanak kecil, penggunaan gajet yang keterlaluan boleh menaikkan risiko kelewatan perkembangan bahasa dan kognitif.

 

Adakah waktu layar itu tidak baik?

Jawapannya ialah bukan semuanya. Seperti yang selalu diungkapkan, kualiti lebih penting daripada kuantiti. Kenyataan ini juga disokong oleh banyak penyelidikan. Pada tahun 2023, ada satu kajian meta yang diterbitkan dalam jurnal Nature Human Behaviour, menemui bahawa penggunaan skrin interaktif yang dilakukan bersama dengan ibu bapa, boleh meningkatkan perkembangan literasi awal di kalangan anak-anak kecil. Pensyarah dan juga pegawai pemulihan perubatan pertuturan daripada Harvard Graduate School of Education, Rebecca Holland menasihatkan agar para ibu bapa malahan guru-guru perlu fokus kepada bagaimana gajet digunakan. Beliau menyarankan beberapa perkara yang boleh dilakukan apabila melayari gajet bersama dengan anak-anak, antaranya ialah lihat apa yang mereka tonton, gunakan kandungan tersebut sebagai langkah awal untuk memulakan perbualan, tanyakan soalan-soalan berbentuk terbuka semasa melayari bersama dan bantu mereka untuk gunakan gajet dengan lebih aktif. Hakikatnya, melayari gajet bersendirian tidak sama dengan melayarinya bersama ibu atau ayah. Malahan, interaksi yang berlaku semasa pelayaran digital bersama tersebut menggalakkan perkembangan anak-anak, sama ada kognitif atau mental.

Di negara kita sendiri, Kementerian Pendidikan menyarankan ibu bapa dan pendidik untuk mengadakan waktu layar yang produktif dan berilmu. Usaha-usaha seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan modul kewarganegaraan digital boleh dilaksanakan untuk mengajar anak-anak menggunakan teknologi dengan lebih bertanggungjawab.

 

Peranan ibu bapa dan sekolah

Para pakar bersetuju bahawa kesederhanaan dan pemantauan adalah kunci kepada permasalahan ini. Ibu bapa digalakkan untuk:

  • Mewujudkan had waktu layar yang jelas mengikut umur anak-anak
  • Mengadakan waktu bersama keluarga tanpa gajet seperti masa makan dan sebelum tidur
  • Melihat bersama dan berdialog berkenaan kandungan digital dengan anak-anak
  • Menggalakkan permainan di luar rumah dan juga aktiviti fizikal

Di samping itu, guru-guru memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak ke arah keseimbangan digital. Literasi digital perlu diintegrasi dalam kurikulum sekolah, bukan setakat bagaimana menggunakan aplikasi tetapi bagaimana berfikir secara kritis, menguruskan masa atas talian dan kekal sihat sama ada fizikal dan emosi dalam alam digital.

Pandangan para pakar teknologi pengajaran tidak boleh disangkalkan, iaitu, kemahiran digital amat diperlukan oleh anak-anak di semua peringkat. Tetapi, tanpa keseimbangan, anak-anak berisiko untuk bergantung sahaja kepada teknologi berbanding menguasainya untuk digunakan dengan bijak dalam kehidupan masing-masing.

 

Masa untuk berhenti seketika dan menyambung semula ikatan

Tidak dinafikan, kita tidak boleh hidup tanpa gajet dasawarsa ini. Kehadiran teknologi memberi banyak peluang yang hebat untuk meningkatkan pembelajaran mahupun penjanaan kreativiti. Tetapi, seperti nutrisi atau senaman, terlalu banyak perkara baik yang diambil atau diaplikasikan, boleh mendatangkan bahaya juga kepada kita.

Kita melihat negara kita, Malaysia menuju masa depan yang saling berhubung dengan teknologi, menuju dunia tanpa sempadan. Justeru itu, ia sangat penting untuk memastikan generasi muda kita bukan sahaja berkemahiran tinggi dari segi aspek digital, malah diselubungi kestabilan emosi, sihat tubuh badan dan juga penglibatan interaksi sosial yang baik.

Ini hanya, ia bukan sekadar memberhentikan waktu layar. Ia lebih kepada mendapatkan kembali masa bersama dengan orang sekeliling secara fizikal, iaitu masa untuk berbual-bual, bergelak tawa bersama-sama dan juga berhubung dengan dunia nyata secara aktif.

 

Oleh Nor Nazrina Mohamad Nazry

Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di nazrina@um.edu.my

OR

Scroll to Top