KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk menentukan sama ada mahu terus menyokong atau menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Sabah.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, KDM bukan sebahagian daripada gabungan berkenaan, justeru soal sama ada parti itu mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri adalah urusan mereka.
Menurut beliau, perkara lebih penting ketika ini adalah sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti KDM yang mewakili kawasan Paginatan terhadap kerajaan negeri.
“Terpulang. KDM ini bukan dalam GRS. Jadi tidak timbul soal tarik sokongan atau tidak. Itu urusan mereka.
“Yang penting di sini, mereka mempunyai satu wakil rakyat. Wakil rakyat di Paginatan ini telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri. Dia sokong kerajaan negeri. Apa yang penting ialah sokongan dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Presiden KDM, Priscella Peter sebelum ini dilaporkan telah mengumumkan pihaknya memutuskan untuk bergerak di luar kerajaan GRS sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU akan datang.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pilihan raya umum sepatutnya diadakan mengikut tempoh mandat semasa yang berakhir sehingga akhir tahun depan, justeru GRS perlu membuat persiapan lebih awal sebagai parti yang menerajui kerajaan negeri.
“Kita mesti bersedia daripada sekarang menggerakkan parti di semua peringkat, termasuk sayap-sayap, dengan turun ke bawah membuat program untuk bersedia menghadapi Pilihan PRU.
“Walaupun kita tidak tahu bila ia akan diadakan, tarikh tempohnya sehingga akhir tahun depan, kita sentiasa bekerja turun ke bawah menemui rakyat untuk memperkuatkan jentera parti GRS dan juga Gagasan Rakyat,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya, Hajiji berkata, GRS akan meneruskan hubungan dengan parti yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, sebarang rundingan berkaitan pembahagian kerusi akan dibincangkan bersama rakan-rakan dalam kerajaan, namun setakat ini belum ada rundingan rasmi mengenainya.
“Sekarang kerajaan negeri dianggotai oleh GRS dan dalam GRS ini ada beberapa buah parti. Ia juga dianggotai oleh PH dan BN, dan mereka sudah berada dalam kerajaan.
“Jadi, kerjasama itu akan kita teruskan dengan parti-parti yang menganggotai kerajaan negeri pada hari ini,” katanya.
Hajiji yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah itu turut berkata GRS selaku peneraju utama kerajaan negeri akan berbincang dengan rakan dalam kerajaan mengenai agihan kerusi yang akan dipertandingkan kelak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pemilihan calon yang mempunyai potensi untuk menang akan menjadi antara kriteria utama GRS.
“Kita berharap kawan-kawan kita dalam kerajaan dan parti-parti tersebut mestilah rasional, dan kita akan tempatkan serta meletakkan calon yang boleh menang dalam pilihan raya nanti. Itu kriteria kita,” katanya. – UTUSAN
