KETIKA berada di dalam tandas untuk menunaikan hajat, tiba-tiba mata terpandang sesuatu yang menyeramkan iaitu hantu.
Saat itu, bolehkah jika kita melaungkan azan bagi menghalau gangguan tersebut di dalam tempat sebegitu?
Sebelum mengulas lanjut, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, azan ialah kalimah mulia yang tidak wajar disebut di tempat kotor seperti tandas.
USTAZ AZHAR
Bahkan, Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya agar menjaga adab ketika berada di dalamnya.
“Terdapat hadis yang menceritakan seorang lelaki memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang membuang air kecil, namun salam tersebut tidak dijawab. Hanya selepas Baginda keluar dari tandas, barulah salam itu disambut.
“Ini menunjukkan, tidak munasabah dan tidak layak duduk dalam jamban (tandas), lalu kita mengulang suara orang yang azan. Bahkan, menjawab salam pun tidak digalakkan di tempat tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya pada Isnin.
Dalam sebuah hadis lain, Ustaz Azhar berkata, Nabi Muhammad SAW pernah menanggalkan cincin yang tertulis kalimah ‘Muhammad Rasulullah’ sebelum masuk ke tandas.
“Tujuannya adalah mendidik umat Islam agar tidak membawa kalimah mulia ke tempat yang dianggap kotor,” katanya.
Berbeza pula keadaannya andai kita terkejut di dalam tandas, lalu tidak sengaja menyebut nama ALLAH.

ISLAM mengajar umatnya membaca doa perlindungan atau membaca bismillah sebelum masuk ke dalam tandas bagi menutup pandangan syaitan daripada melihat aurat manusia. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Dalam hal itu, jelas agamawan tersebut ia dimaafkan sekiranya tidak disengajakan.
Mengulas tentang kewujudan makhluk ghaib di dalam tandas, Ustaz Azhar menjelaskan, tandas sememangnya menjadi tempat kesukaan syaitan kerana kotor dan jauh daripada zikrullah.
Justeru, Rasulullah SAW mengajar umat Islam membaca doa perlindungan sebelum masuk ke tandas iaitu ‘Allahumma inni a‘uzubika minal khubsi wal khobais’ (Ya ALLAH, peliharalah aku daripada syaitan jantan dan betina).
“Hadis juga menyebut, bacaan bismillah ketika masuk tandas akan menutup pandangan syaitan daripada melihat aurat manusia.
“Kalau kita tak baca, syaitan nampak. Kalau baca, mereka terhalang,” jelasnya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Azhar sempat menitipkan doa yang boleh dibaca sekiranya kita diganggu.
“Sekiranya gangguan itu datang dalam bentuk suara, sebaik sahaja keluar tandas, bolehlah menyebut ‘Allahuakbar’ atau ‘Bismillahirrahmanirrahim’.

JIKA menjawab salam pun tidak digalakkan di dalam tandas, apatah lagi mengumandangkan azan di tempat tersebut. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Namun, sekiranya terlihat jelmaan yang jelas hingga terbelalak mata, Rasulullah SAW mengajar agar kita membaca ‘Al’anuka bilaknatillah’ (Aku melaknatmu dengan laknat ALLAH) sebanyak tiga kali.
“Kalau makhluk itu tidak lari, maka kita yang perlu beredar. Tinggalkan saja tandas tersebut,” ujarnya berseloroh.