Tertinggal solat sebab ubat mengantuk

Tertinggal solat sebab ubat mengantuk


ADAKALANYA kita menelan ubat atas saranan doktor bagi merawat penyakit tertentu, namun tanpa disedari, ia memberi kesan mengantuk yang melampau hingga menyebabkan seseorang terlelap dan terlepas waktu solat.

Situasi sebegitu bukan lagi sesuatu yang asing, lebih-lebih lagi dalam kalangan pesakit yang mengalami masalah kesihatan kronik serta memerlukan dos ubatan tinggi.

Persoalannya, apakah kedudukan solat yang tidak ditunaikan kerana tertidur akibat kesan ubat? Adakah tetap berdosa atau termasuk dalam keuzuran yang dimaafkan oleh syarak?

Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, Islam tidak memberatkan umatnya dalam situasi tertentu lebih-lebih lagi jika ia berpunca daripada rawatan yang diharuskan dalam agama.

USTAZ AZHAR

Ujar beliau, terdapat perbezaan antara dua keadaan mengantuk iaitu mengantuk yang masih membolehkan seseorang sedar dan satu lagi, mengantuk yang menyebabkan kehilangan kesedaran seperti mabuk atau pengsan.

“Kalau mengantuk yang (dalam keadaan) sedar, wajib sembahyang ketika waktu (solat) sudah ‘sempit’ (hampir tamat),” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya pada Isnin.

Bagi individu yang masih sedar walaupun dalam keadaan mengantuk, agamawan itu menegaskan, kewajipan solat tetap perlu ditunaikan dalam tempoh waktunya.

Jika tidak mampu melaksanakannya pada awal waktu, jelas beliau, Islam memberi kelonggaran untuk menunaikan ibadah tersebut sebelum tempoh waktu solat berakhir.

“Kalau kita baru bangun (tersedar), ngantuk (mamai) lagi, tunggu hujung-hujung sikit. Belum habis waktu Subuh, boleh solat pada waktu itu selama tidak habis waktu,” katanya.

JIKA mengantuk yang dalam keadaan sedar, wajib sembahyang ketika waktu solat sudah ‘sempit’. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

JIKA mengantuk yang dalam keadaan sedar, wajib sembahyang ketika waktu solat sudah ‘sempit’. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Sebaliknya, bagi mereka yang tidak lagi sedar akibat kesan ubat misalnya tertidur dalam keadaan hilang kawalan, Ustaz Azhar menjelaskan, hukum solat dalam waktu itu menjadi tidak wajib kerana hilang syarat kesedaran iaitu sedar akan perbuatan dalam solat.

“Kalau (jenis) mengantuk yang (sampai) tidak sedar, tak boleh sembahyang,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa menunaikan solat dalam keadaan tidak memahami bacaan seperti kesan mengantuk keterlaluan atau dalam keadaan separa sedar adalah tidak sah.

Ini kerana salah satu syarat sah solat adalah memahami bacaan dan menyedari apa yang dilakukan.

“Kalau maksud mengantuk itu maknanya sampai macam orang mabuk, jangan solat (dulu) sampai kamu faham apa yang kamu baca, baru boleh sembahyang,” katanya.

JIKA seseorang mengambil ubat pada waktu malam dan kesannya menyebabkan dia pengsan atau tidak sedar, maka dimaafkan untuk menggantikan solat yang tertinggal di luar waktunya. -Foto: CANVA

JIKA seseorang mengambil ubat pada waktu malam dan kesannya menyebabkan dia pengsan atau tidak sedar, maka dimaafkan untuk menggantikan solat yang tertinggal di luar waktunya. -Foto: CANVA

Penceramah tersohor itu kemudian mengemukakan Fatwa Ibnu Hajar Al-Asqalani yang menjelaskan bahawa jika seseorang mengambil ubat pada waktu malam dan kesannya menyebabkan dia pengsan atau tidak sedar, maka dimaafkan untuk menggantikan solat yang tertinggal di luar waktunya.

“Maknanya, kalau (kita) mengantuk yang tak mampu nak solat, dimaafkan (solat) habis waktu kerana berubat (yang dibenarkan syarak).

“(Tetapi) yang tak boleh, (bila) sampai masa hendak sembahyang, (sengaja) makan ubat biar mengantuk supaya tidak solat. Hukumnya haram,” tegas beliau.



Source link

OR

Scroll to Top