Teruja dapat tawaran selepas 15 tahun menunggu

Teruja dapat tawaran selepas 15 tahun menunggu



khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa orang bakal jemaah yang terpilih mengerjakan ibadah haji musim 1446H/2025M melahirkan rasa gembira dan teruja selepas menunggu hampir 15 tahun, giliran mereka mengerjakan rukun Islam kelima itu tiba.

Bakal jemaah, Mohd Kaspi Harun, 48, berkata, dia berasa gembira apabila mendapat khabar berita itu, selepas sekian lama menunggu untuk mengerjakan ibadah haji.

“Saya berasa amat terharu dan gembira. Ini kerana saya mendaftar haji pada tahun 2009. Selepas 15 tahun (menunggu), barulah saya dapat tawaran haji ini.

“Ditambah lagi saya akan dapat mengerjakan ibadah haji ini bersama isteri dan anak sulung saya,” katanya kepada Harian Metro.

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1446H/2025M akan dikeluarkan secara berperingkat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman turut dilaporkan berkata, kadar bayaran haji untuk seorang bakal jemaah Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40 dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.

Mohd Kaspi yang tinggal di Kuala Terengganu berkata, dari segi simpanan untuk mengerjakan ibadah haji, dia membuat pemotongan gaji sejak tahun 2004.

“Sejak tahun 2004, setiap bulan saya buat pemotongan gaji sebanyak RM200. Jumlah terkumpul itu telah melayakkan untuk saya ditawarkan haji,” katanya.

Mohd Kaspi yang merupakan seorang guru turut berpendapat, jumlah kos haji yang ditawarkan padanya masih lagi berpadanan dan berpatutan.

“Tidaklah tinggi sangat, tidaklah sedikit sangat. Saya rasa berpatutan dan di tahap kemampuan,” katanya.

Bakal jemaah, Zainora Hayari, 45, menyatakan dia mengalirkan air mata kerana terlalu teruja, selepas hampir 15 tahun menunggu bersama suaminya untuk menerima berita baik mengerjakan ibadah haji.

“Kami memang menunggu untuk pergi dan sabar dari tahun ke tahun. Alhamdulillah, kami bersyukur apabia mendapat tawaran mengerjakan ibadah haji ini.

“Ini kerana kami takut tercicir dan tak dapat walaupun di dalam aplikasi THiJARI menyatakan tahun giliran kami adalah 1446H,” katanya yang merupakan seorang pensyarah.

Dari segi kos pula katanya, dia menerimanya dan masih mampu untuk membayarnya selepas mengambil kira pelbagai perkara.

“Saya rasa macam ok kerana kos pun sekarang meningkat. Di Arab Saudi itu (kos) telah naik seperti hotel. Saya menerima dan masih mampu untuk bayar,” katanya.

Bakal jemaah, Ruslin@Nazri Kasbolah, 56, turut menyatakan dia teruja apabila mendapat khabar berita mengenai tawaran untuk mengerjakan ibadah haji.

“Ini disebabkan ia adalah impian hidup kita. Ia adalah rukun Islam yang patut kita penuhi, rukun yang kelima dan terakhir.

“Bagi saya kalau tak capai hasrat itu, seolah-olah apabila kita dibangkitkan (nanti), kita berasa sedih.

“Takkanlah seumur hidup kita 50 hingga 60 tahun tak boleh capai hasrat untuk pergi ke Tanah Suci,” katanya sambil menambah bakal mengerjakan ibadah haji bersama isterinya.

Seorang lagi bakal jemaah, Nur Adzrini Ahmad, 44, menyatakan dia berasa gembira kerana mendapat tawaran mengerjakan ibadah haji bersama ibunya.

“Bila dapat pergi bersama ahli keluarga sendiri terutama mak kita, yang itu saya sangat bersyukur.

“Saya sangat gembira kerana telah menanti sekian lama untuk panggilan haji ini kerana telah mendaftar lama. Saya juga selalu mengikuti kursus asas haji yang dianjurkan TH,” katanya yang tinggal di Sungai Petani.

Sementara itu, bekas jemaah musim haji 1445H/2024M memuji kemudahan perkhidmatan disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Mohd Syafiq Mohd Sekari, 37, berkata, dia berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan oleh TH sepanjang mengerjakan ibadah haji bersama datuknya, Zakaria Hamat, 90.

“Musim yang lepas, memang saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh TH.

“Dari segi perkhidmatan, makan minum, perubatan dan tempat tinggal yang disediakan…alhamdulillah, saya amat berpuas hati,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Syafiq yang tinggal di Kajang berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang mengerjakan haji bersama datuknya.

Menurutnya, walaupun penginapannya semasa di Makkah itu sedikit jauh, tetapi ia berbeza apabila dia bersama datuknya menginap di Madinah.

“Bila di Madinah saya amat bersyukur kerana hotel saya amat dekat. Mungkin itu salah satu, bila dah jauh (sebelum ini di Makkah), TH lihat balik (penginapan).

“Dari segi perkhidmatan di Madinah memang terbaik,” katanya.

Mohd Syafiq sebelum ini pernah dilaporkan menolak tawaran sebanyak dua kali untuk menunaikan haji pada tahun 2022 dan 2023 kerana belum bersedia disebabkan masalah kewangan serta keadaan keluarga yang tidak mengizinkan.

Dilaporkan, dia mengambil keputusan untuk membawa datuknya kerana tiada lagi waris lain yang boleh berbuat demikian susulan ayahnya iaitu anak tunggal Zakaria meninggal dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top