Terus pelihara keharmonian, usah terpengaruh ahli politik gemar tiup api perpecahan – Sultan Selangor

Terus pelihara keharmonian, usah terpengaruh ahli politik gemar tiup api perpecahan – Sultan Selangor


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyeru seluruh rakyat agar tidak terpengaruh dengan sikap segelintir pihak, khususnya ahli politik, yang gemar meniup api perpecahan demi kepentingan sempit.

Titah baginda, perpaduan yang dibina sekian lama tidak harus digadai oleh retorik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Negara ini milik kita bersama, dan keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu.
“Beta berharap agar rakyat jelata terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama.
“Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati. Semoga Tahun Baru Cina ini membawa sinar harapan baharu, memperkukuhkan perpaduan, serta menambahkan rasa kasih sayang antara kita semua,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Usah terpengaruh ahli politik gemar tiup api

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua yang meraikannya di Selangor dan seluruh Malaysia.

Artikel lain: Sultan Selangor titah pembinaan rumah ibadat wajib ikut undang-undang, perlu kelulusan sah

Baginda menekankan, perayaan seperti Tahun Baru Cina bukan sekadar tradisi turun-temurun, tetapi juga lambang kekayaan budaya dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

“Beta ingin mengingatkan bahawa setiap perayaan harus dijadikan wadah untuk memperkukuhkan semangat muhibbah dan saling hormat-menghormati antara semua kaum.
“Biarlah kunjungan rumah terbuka, ucapan tahniah dan amalan berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan kita dalam menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain,” titah baginda lagi.

Menurut baginda, negara ini dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, yang menjadi sumber kekuatan menjadikan bangsa Malaysia unik serta dihormati di persada dunia.

Sumber: FB Selangor Royal Office





Source link

OR

Scroll to Top