Pengeluaran trak elektrik berat Tesla Semi akhirnya memasuki fasa pengeluaran besar-besaran selepas tertangguh sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2017. Model ini kini bukan lagi sekadar prototaip, sebaliknya akan memasuki barisan produksi dengan spesifikasi yang jauh lebih matang berbanding versi awal.
Sebelum ini, sekitar 100 unit Tesla Semi telah pun digunakan dalam operasi sebenar oleh syarikat seperti PepsiCo dan Walmart sebagai sebahagian daripada fasa ujian. Namun, trak elektrik yang kini memasuki produksi bukan sekadar versi sama dengan kemas kini kecil tetapi Tesla sebenarnya melakukan perubahan besar dari segi kejuruteraan.
Antara naik taraf utama termasuk reka bentuk casis baharu sepenuhnya, perubahan pada lampu hadapan, serta ciri aerodinamik. Hasilnya, Tesla berjaya mengurangkan berat trak sekitar lebih kurang 450 kg, satu angka yang sangat signifikan dalam dunia kenderaan komersial berat kerana ia memberi kesan terus kepada kecekapan dan kapasiti muatan.

Seperti model Tesla lain, Semi ditawarkan dalam dua varian utama iaitu Standard Range dan Long Range. Varian Standard Range mempunyai jarak sekitar 523 km dan menghasilkan kuasa sekitar 1,072 hp. Ia juga mempunyai had berat gabungan maksimum (GVWR) sebanyak 37,200kg, yang bermaksud kira-kira 28,122kg boleh digunakan untuk treler dan kargo selepas mengambil kira berat trak itu sendiri.
Bagi varian Long Range pula, ia dilengkapi bateri lebih besar yang membolehkannya mencapai jarak sehingga 805 km dalam satu pengecasan penuh. Namun, bateri tambahan ini menjadikan trak tersebut sekitar 1,360 kg lebih berat, sekali gus mengurangkan sedikit kapasiti muatan berbanding versi Standard Range.
Walaupun Tesla tidak memperincikan sama ada angka jarak ini diukur dengan muatan penuh atau tidak, sebelum ini Elon Musk pernah menyatakan bahawa angka tersebut direka untuk mencerminkan penggunaan sebenar dengan beban penuh.
Dari segi pengecasan pula, Tesla Semi tidak menggunakan sistem pengecas biasa seperti kereta elektrik. Sebaliknya, ia memerlukan infrastruktur khas berkuasa tinggi dan Tesla telah mula membangunkan rangkaian pengecas dikenali sebagai Megacharger
Sistem Megacharger yang pertama kali dibuka di California ini mampu menyalurkan kuasa sehingga 750 kW, iaitu kira-kira dua kali ganda lebih pantas berbanding pengecas EV paling laju untuk kereta penumpang hari ini.






