Tewaskan JDT 2, bonus buat Yob

Tewaskan JDT 2, bonus buat Yob


PENGENDALI Perak FA, Syamsul Saad menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2) dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada Sabtu sebagai bonus buat skuad Kejor Yob Kejor.

Menurut Syamsul, sasaran awal yang ditetapkan adalah untuk tidak tewas dalam perlawanan tersebut dan berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Kita datang dengan misi untuk tidak kalah dan saya percaya semua pemain jelas dengan misi itu.

“Kita juga telah meneliti aksi terakhir JDT 2 dan dapati mereka memang berbahaya ketika melakukan serangan balas. Jadi, kita tidak boleh bermain secara terbuka kerana ia akan menyebabkan kita dibolosi lebih banyak.

“Bagaimanapun, hasil disiplin dan pematuhan terhadap segala perancangan, sasaran untuk tidak tewas tercapai dan kemenangan ini merupakan satu bonus buat pasukan. Alhamdulillah,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, Perak FA berjaya merobek gawang JDT 2 pada minit ke-22 menerusi kapten, Kamal Arif Azrai Shaimar, namun jaringan itu dibatalkan oleh pengadil, Mohamad Haziq Iqmal Ayazi kerana Kamal Arif Azrai didapati berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.

Bagaimanapun, penyerang Perak FA, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli mengejutkan JDT 2 dengan jaringan pada minit ke-32 sebelum pemain import tuan rumah, Celso Jose, menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Sebaik babak kedua bersambung, Perak FA sekali lagi merobek gawang JDT 2 menerusi jaringan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi pada minit ke-46, sekali gus memastikan kemenangan pelawat.

Sementara itu, Syamsul mengakui skuad kendaliannya beraksi secara bertahan sebagai langkah mengekang jentera serangan JDT 2 daripada menjaringkan gol.

“Kita tahu kualiti JDT 2. Jika kita bermain secara terbuka, kita akan dibolosi. Perkara ini memang telah kita kaji.

“Namun begitu, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki kerana dalam perlawanan ini kita juga mencipta peluang ke pintu gol JDT 2. Apa pun, alhamdulillah, sasaran untuk tidak tewas telah dicapai,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pengendali Perak FA, Syamsul Saad menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas JDT 2 sebagai bonus
  • Sasaran awal pasukan adalah untuk tidak tewas dalam perlawanan itu
  • Perak FA bermain secara bertahan untuk mengelak dari dibolosi oleh JDT 2
  • Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli dan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi menjaringkan gol untuk Perak FA
  • Syamsul Saad mengakui perlunya membetulkan beberapa aspek permainan walaupun berpuas hati dengan hasil tersebut



Source link

OR

Scroll to Top