sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pemain Terengganu FC (TFC) dituntut mengekalkan tahap disiplin yang tinggi sehingga wisel penamat bagi mengelak kesilapan sama berulang.
Ingatan itu diungkapkan ketua jurulatih sementara skuad itu, Tengku Hazman Raja Hassan menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal, malam esok.
Pada aksi suku akhir Piala Malaysia sebelum ini, pemain TFC tidak berupaya mempertahankan jaringan pendahuluan selepas melepaskan jaringan mudah kepada KL City FC sehingga pasukan gagal melangkah ke peringkat separuh akhir.
“Saya lihat dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang KL City sebelum ini, pemain melepaskan jaringan mudah kepada lawan.
“Hilang fokus dan komunikasi antara pemain menjadi faktor pasukan gagal mempertahankan kelebihan jaringan awal.
“Jadi pertemuan kali keempat menentang skuad itu pada musim ini, saya harapkan pemain tidak lagi melakukan kesilapan mudah yang menyebabkan pasukan dihukum lebih-lebih lagi lawan dibarisi pemain yang berkualiti dan berpengalaman,” kata Tengku Hazman.
Mengulas lanjut, bekas ‘arkitek’ skuad kebangsaan itu lega selepas pemain importnya yang juga tonggak utama pasukan, Careca sudah boleh beraksi selepas digantung satu perlawanan.
“Bagi memastikan misi tiga mata di tempat sendiri menjadi kenyataan, saya kini memberi penekanan dan membuat pembetulan dalam aspek bertahan.
“Pada masa sama saya ingatkan pemain agar dapat meraih mata penuh tidak kira berdepan dengan pasukan mana lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri dan harap pasukan kekal konsisten dengan momentum pasukan sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






