TFC jinakkan Penang FC 3-0

TFC jinakkan Penang FC 3-0


Pemain pasukan Penang FC dan Terengganu FC merebut bola dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya di sini hari ini. – Foto: Bernama

HASRAT Penang FC untuk meraih kemenangan pertama di laman sendiri lebur apabila tunduk 0-3 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, malam ini.

Babak pertama menyaksikan corak permainan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tiada jaringan dihasilkan.

TFC hampir membuka tirai gol pada minit ke-32 menerusi rembatan kencang penyerang import dari Brazil, Gabriel Silva tetapi bola sekadar singgah di sisi jaring.

Tiga minit kemudian, giliran Penang menguji gawang lawan apabila sepakan Dylan Wenzel Halls berjaya ditepis penjaga gol TFC Mohd Suhaimi Husin.

Pada waktu kecederaan, TFC dihadiahkan sepakan percuma selepas Akhyar Rashid dijatuhkan di luar kotak penalti, namun percubaan Nurillo Tukhtasinov gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, Penang hampir mengejutkan pelawat pada minit ke-49 menerusi pemain sayap import dari Bosnia Danilo Sipovac tetapi sekali lagi kecekapan Suhaimi menafikan sepakan dari sudut kiri gawang itu.

TFC akhirnya memecah kebuntuan seminit kemudian hasil rembatan leret Azam Azmi Murad dari sebelah kanan. Lima minit kemudian, Gabriel Silva menambah derita tuan rumah dengan gol kedua selepas menewaskan benteng pertahanan Penang.

Anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail cuba bangkit, namun benteng dan penjaga gol TFC kekal ampuh menangkis asakan.

Pada minit akhir perlawanan, pemain gantian, Mohamad Khalai’f Mohd Naskam, memastikan kemenangan bergaya TFC dengan gol ketiga untuk menutup aksi dengan keputusan 3-0.

Kemenangan ini membolehkan TFC membawa pulang tiga mata penuh, manakala Penang FC terus buntu mencari kemenangan di halaman sendiri. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top