TFC tamatkan kemarau kemenangan, tewaskan Penang FC 1-0

TFC tamatkan kemarau kemenangan, tewaskan Penang FC 1-0


KUALA NERUS: Pemain pertahanan, Ubaidullah Shamsul Fazili, menyelamatkan maruah Terengganu FC (TFC) setelah menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika mengalahkan Penang FC, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekaligus membantu TFC menamatkan kemarau kemenangan sejak lapan perlawanan lalu untuk mengutip 21 mata di tempat keempat manakala Penang kekal di kedudukan ketiga tercorot.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, tuan rumah bermula garang menyaksikan percubaan jarak jauh Safwan Mazlan pada minit ke-15 mula menguji kubu pelawat.

Peluang terbaik TFC menjelma minit ke-19 menerusi ketua pasukan, Manuel Ott yang menerima umpanan Azam Azmi Murad namun tolakan pemain Filipina itu dihalang A. Namathevan.

Hanya seminit kemudian Ott yang memakai lilitan kapten terus mencemaskan Penang FC tetapi rembatannya berpunca sepakan sudut Nurillo Tukhtasinov sedikit tinggi melepasi sasaran.

Gol dicari-cari Sang Penyu akhirnya terhasil selepas Ubaidullah bijak menanduk kemas bola hantaran Azam Azmi dari sebelah kanan untuk memecahkan kebuntuan minit ke-27.

Pintu gol TFC nyaris bocor menuju rehat mujur sepakan leret pemain sayap Penang FC, Nabil Ahmad Latpi (m-41) hasil gerakan Dylan Wenzel Halls mudah dibaca penjaga gol tuan rumah.

Bersambung babak kedua, kemasukan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid tidak banyak meningkatkan tempo permainan TFC sebaliknya Penang FC kembali dalam permainan.

Namun hasrat skuad Harimau Kumbang mengikat kedudukan tidak kesampaian apabila percubaan Syamer Kutty Abba minit ke-55 dan Rodrigo Dias minit ke-63 tidak menepati sasaran.

TFC turut berpeluang ‘membunuh’ pasukan lawan namun rembatan Engku Nur Shakir Engku Yacob (m-81) di depan pintu gol hasil umpanan Akhyar sekadar meninggi dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top