AYER KEROH: Tindakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan pengalamannya bermimpi bertemu Rasulullah SAW adalah untuk rakaman generasi muda.
Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, ia bagi membolehkan mereka mendapat maklumat tersebut terus dari beliau sendiri berkaitan perkara itu.
“Beliau (TG Abdul Hadi) sengaja mendedahkan mimpi bertemu Rasulullah SAW pada kali ini terhadap generasi muda, pendukung-pendukung perjuangan Islam kerana beliau sangat faham bahawa daya rakaman anak muda dan ingatan mereka adalah sangat kuat dan segar.
“Beliau mahu anak muda PAS mendengar sendiri dari mulut beliau secara langsung dan bukan dari orang yang lain selepas ketiadaan beliau, pengalaman ruhani yang menjadi pakaian dan perjalanan hidup para siddiqin dan duat sepanjang zaman,” katanya.
Dengan itu, menurut beliau, anak muda mendapat pelajaran tersebut langsung dari beliau lantas membina keyakinan anak muda terhadap perjuangan sesungguhnya adalah sebagai medan pembuktian cinta terhadap Allah dan Rasul SAW.
“Beliau telah memiliki segala-galanya. Namun beliau mahu anak muda yang bakal meneruskan perjuangan tahu dengan yakin bahawa tidak ada yang lebih berharga dalam perjalanan dakwah panjang seumpama pandangan Allah dan perhatian Rasulullah SAW kepada perjuangan dan pengorbanan dilakukan.
“Beliau mahu meninggalkan pelajaran itu kepada anak muda PAS seluruh negara. Dalam tindakan beliau yang melambangkan kasih beliau kepada umat, beliau hanya meneruskan contoh-contoh perjalanan dakwah para ulama dari generasi terdahulu,” katanya.
Tuan Guru Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin turut menyifatkan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai rantaian mulia para ulama warasatul Anbia’.
“Al-Imam Abu Muhammad Abdullah bin Abi Jamrah setelah menyelesaikan huraian agungnya terhadap Mukhtasar Sahih Al-Bukhari susunannya itu berjudul Bahjatun Nufus.
“Beliau telah menulis sebuah kompilasi khusus yang menghimpunkan 70 mimpi melihat Rasulullah SAW yang dilihatnya atau dilihat oleh orang terpercaya sepanjang penulisan kitab beliau tersebut yang menunjukkan kepada kemuliaan karangannya itu,” katanya.
Menurut beliau, pendedahan dan penyingkapan para ulama Rabbani yang berjuang dengan ilmu dan hidupnya jangan sekali-kali dianggap dengan anggapan buruk sebagai riya’ dan sum’ah.
Tegas beliau, amat keji orang berkomentar demikian terhadap para ulama besar dan komentar buruk tergamak dilakukan kepada para ulama tidak lain hanyalah menggambarkan sifat cuai mereka dalam mengkoreksi diri sendiri dan sifat terlalu merasa tinggi akibat pujian-pujian.
“Semoga Allah memanjangkan usia Tuan Guru Presiden dan memberikan kesihatan kepada beliau serta keberkatan dan penerimaan terhadap setiap untaian ilmu yang beliau sampaikan kepada umat.
“Semoga Allah membalas beliau dengan sebaik-baik balasan di dunia dan akhirat. Amin yang Rabbal Alamin,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook. – HARAKAHDAILY 9/11/2024