July 27, 2024

TH cawangan Kulai manfaatkan premis baharu tambah pendeposit

TH cawangan Kulai manfaatkan premis baharu tambah pendeposit


Kuala Lumpur: Pejabat Tabung Haji (TH) Cawangan Kulai, Johor yang baru berpindah ke premis baharu di Bandar Putra, Kulai dijangka dapat membantu meningkatkan jumlah pendeposit di Johor.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata pemindahan pejabat itu selaras dengan matlamat menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pendeposit di daerah Kulai.

Beliau berkata, ia juga bagi menaik taraf tahap perkhidmatan di samping memberikan keselesaan kepada pendeposit TH melakukan transaksi serta urusan haji dengan selesa dan kondusif.

Menurutnya, cawangan TH Kulai di premis baharu berkenaan berkeluasan ruang hampir dua kali ganda, berbanding premis sebelum ini serta ruang parkir lebih banyak, selain terletak di kawasan perbandaran yang pesat berkembang dengan sokongan pembangunan perindustrian.

Lebih 57,000 pendeposit


Syed Hamadah bertemu pendeposit pada perasmian Pejabat Cawangan TH Kulai. – FOTO TH

“TH mempunyai 107 cawangan di seluruh negara dan 10 daripadanya berada di Johor.

“Johor antara negeri mempunyai bilangan pendeposit yang tinggi dengan mencatatkan 1.15 juta pendeposit dan lebih 57,000 pendeposit dari daerah Kulai.

“Saya berharap dengan pembukaan pejabat berkenaan, pendeposit TH di daerah Kulai dan kawasan sekitarnya dapat menjalankan urusan transaksi dengan lebih mudah, cepat dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis perasmian Pejabat Cawangan TH Kulai, Johor itu disempurnakan Syed Hamadah kelmarin dan turut dihadiri, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab bersama barisan Pengurusan Kanan, Pengarah Wilayah Selatan, Pengarah Negeri Johor dan kakitangan TH.

Menurut kenyataan itu, TH turut memperkenalkan pelbagai kemudahan terkini untuk keselesaan pendeposit yang boleh membuat transaksi TH di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atau Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) tanpa sebarang caj.

Selain itu, TH memaklumkan transaksi itu juga boleh dilakukan di mesin ATM atau CDM institusi perbankan seperti BIMB, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB yang berhampiran.

“Pendeposit TH juga boleh menggunakan kemudahan perbankan internet di BIMB, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan AmBank serta melalui perkhidmatan dalam talian TH–THiJARI.

“Aplikasi THiJARI dibangunkan selari dengan perubahan masa dan teknologi masa kini, menyediakan perkhidmatan dalam talian yang membolehkan pendeposit melaksanakan transaksi TH di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke pejabat TH.

“TH juga sudah melebarkan perkhidmatannya melalui pelaksanaan perkhidmatan kaunter bergerak dan TH Komuniti sebagai inisiatif tambahan untuk kemudahan umat Islam mendapatkan perkhidmatannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top