TH teliti cadangan tambah bantuan kewangan haji jika kos meningkat – Marhamah

TH teliti cadangan tambah bantuan kewangan haji jika kos meningkat – Marhamah

TH teliti cadangan tambah bantuan kewangan haji jika kos meningkat – Marhamah


Kuala Lumpur: Cadangan penambahan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah golongan B40 bagi musim haji akan datang akan diteliti, sekiranya kos menunaikan ibadah itu terus meningkat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata bagi musim haji tahun ini, Tabung Haji (TH) terus menyediakan bantuan kewangan haji secara bersasar kepada golongan B40 walaupun kos haji meningkat.

Beliau berkata daripada kos sebenar menunaikan haji berjumlah RM33,300 seorang, jemaah haji dalam kategori B40 hanya perlu membayar RM15,000, manakala baki RM18,300 ditanggung menerusi bantuan kewangan yang disediakan TH.

“Bantuan kewangan haji ini dibiaya daripada keuntungan pelaburan TH yang dijana daripada simpanan pendeposit. Oleh itu, pemberian bantuan kewangan haji perlu dibuat secara bersasar dan berhemah dengan mengambil kira keperluan bakal haji serta kepentingan pendeposit secara keseluruhannya.

“Namun, insya-Allah, TH akan memperhalusi cadangan untuk menambah bantuan kewangan untuk bakal jemaah B40 bagi musim haji akan datang,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) berhubung kesediaan kerajaan dan TH untuk menambah bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah daripada kumpulan B40 berikutan trend peningkatan kos ibadah itu.

Dalam pada itu, Marhamah berkata TH juga sedang meneliti penambahbaikan sistem pengurusan giliran haji lebih sistematik dan adil kepada pendeposit yang telah membuat persediaan awal, khususnya mereka yang konsisten menyimpan dan mempunyai simpanan mencukupi.

Beliau berkata langkah itu dapat mengurangkan keperluan untuk membuat tawaran gantian berulang apabila terdapat bakal haji yang memohon penangguhan atas alasan kewangan.

“Cabaran utama ialah jumlah pendaftaran yang kini melebihi empat juta orang berbanding kuota haji Malaysia yang kekal sekitar 31,600 orang setahun. Keadaan ini menyebabkan mereka yang baru mendaftar perlu menunggu dalam tempoh sangat panjang.

“Kerajaan dan TH, insya-Allah, akan terus komited meningkatkan mutu perkhidmatan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju dunia dalam pengurusan dan perkhidmatan haji,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top