June 13, 2024

Thailand kena libas lagi, Malaysia juara dunia acara regu


MALAYSIA sekali lagi tampil dengan persembahan luar biasa apabila ‘melibas’ musuh tradisi, Thailand 2-0 dalam acara regu pada perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Rabu.

Skuad negara turun dengan misi mencari kejuaraan dunia kedua selepas gandingan Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin menghadiahkan kejuaraan dunia pertama dalam acara double yang berlangsung sebentar tadi.

Trio dibarisi Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) cukup garang dengan persembahan penuh bertenaga untuk menafikan tentangan yang diberikan Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan dan Varayut Jantarasena.

Nyata sokongan ribuan penyokong di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur menghadirkan gerun kepada Thailand apabila servis dan libasan mereka bagaikan serba tidak menjadi.

Sebaliknya, trio negara cukup konsisten meraih mata demi mata untuk menang mudah set pertama 15-8.

Aksi cemerlang Farhan, Syahir dan Azlan diteruskan pada set kedua sehingga memaksa Thailand beberapa kali menukar tekong mereka, namun tetap gagal menggugat keyakinan ditonjolkan trio negara.

Percaturan pengendali negara, Ahmad Jais Baharun memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam menggantikan Syahir pada pertengahan set kedua turut membuahkan hasil apabila Malaysia mengesahkan kejayaan sebagai juara dunia acara regu menerusi kemenangan 15-12.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top