The Cat enggan beri laluan mudah

The Cat enggan beri laluan mudah


sukan@hmetro.com.my

Kuching: Kuching City FC melaungkan amaran untuk tidak memberikan laluan mudah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA 2025, meskipun bakal beraksi di gelanggang lawan.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak menegaskan skuadnya tidak berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim sekadar untuk melengkapkan jadual, sebaliknya mahu memberi cabaran maksimum kepada juara bertahan itu.

Menurutnya, tempoh rehat panjang sebelum ini akibat jendela antarabangsa sedikit mengganggu rentak pasukannya, namun kemenangan terbaharu Kuching City memberi suntikan moral penting sebelum aksi getir menentang JDT.

“Dalam beberapa hari persiapan ini, kami fokus pada apa yang perlu diperbaiki, kami tahu JDT memiliki pemain berkualiti seperti Bergson Da Silva dan Arif Aiman yang sentiasa menjadi ancaman, jadi aspek bertahan perlu diperketatkan,” katanya.

Bagaimanapun, pengendali dari Singapura itu mengingatkan pemain agar menikmati suasana perlawanan besar di stadium bertaraf dunia itu serta menganggap ia sebagai peluang berharga untuk mempamerkan kemampuan.

“Apa pun keputusan nanti, kami akan berikan yang terbaik kerana Kuching City mencipta sejarah untuk sampai ke tahap ini dan pemain perlu menghargainya.

“Bermain di stadium yang baik, menentang pasukan yang baik itu satu keistimewaan jadi berikan yang terbaik dan nikmati bola sepak,” tambah Aidil.

Kuching City memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya 2-0 untuk menghidupkan peluang mara ke pentas final.

Dalam aksi pertama di Stadium Negeri, JDT menang dengan jaringan 2-1 sekali gus membawa bekalan dua gol di tempat lawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top