Isu ‘terpaling sumud’ dan ‘terpaling Free Palestine’ kembali hangat diperkatakan selepas sepotong video pendek yang dikongsikan penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi tular.
Menerusi perkongsian tersebut, Hazwani yang juga merupakan peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kelihatan memakai telefon pintar jenama boikot pada acara berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 baru-baru ini sekali gus mencetuskan kontroversi dalam kalangan warganet.


Tidak berdiam diri dengan isu tersebut, Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman tampil mempertahankan pasangan adik-beradik itu menerusi hantaran di Threads di miliknya.
Kata Musa, tindakan memboikot adalah hak setiap individu. Namun, adalah dinasihatkan untuk tidak memuat naik dan mempromosi jenama berkenaan sebagai tanda solidariti.
“Dia mudahnya begini. Nak boikot ke? Tak nak boikot ke? Itu hak kamu.
“Kita cuma nasihatkan, kalau tak boikot tak perlulah post apatah lagi promote. Sebagai tanda solidariti untuk saudara kita di sana. Itu sahaja, simple,” katanya.

Manakala, penyanyi Zizi Kirana juga mengambil kesempatan memuat naik hantaran ‘sarkastik’ memaklumkan bahawa tindakan mengecam itu disifatkannya sebagai membosankan.
“Yang mengecam tu hidup kau orang mesti membosankan kan kan kan?,” luahnya.
Malah, hantaran tersebut juga disertakan dengan tanda pagar, #boringgiler.

Selain Musa dan Zizi, peserta misi kemanusiaan GSF iaitu, Ilya Balqis juga tampil memberikan pesanan buat mereka di luar sana agar tidak terus menerus menyebarkan kebencian berkenaan isu tular tersebut.
Katanya, individu yang dilabel sebagai ‘terpaling Free Palestine’ harus berbangga dengan gelaran tersebut sebaliknya, tidak patut berbangga jika sudah mula menyebarkan kebencian yang disifatkannya sebagai perangai ‘Abu Lahab’.







