Kumpulan adik-beradik dikenali sebagai The Helmi’s tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan segelintir pihak yang menuduh mereka menunggang isu Palestin susulan penggunaan telefon daripada jenama boikot.
Menurut Hazwani Helmi menerusi sepotong video pendek yang dikongsikan di Threads, penggunaan telefon tersebut adalah atas faktor keperluan kerja. Malah ia adalah hadiah pemberian orang kepadanya.
Jelasnya, sekiranya terdapat produk lokal atau alternatif lain yang setara dari segi fungsi dan keupayaan, mereka tidak keberatan untuk memilih produk tersebut.
“Sebenarnya telefon itu adalah pemberian orang dan tak sangka benda ini jadi isu.
“Tujuan benda itu dipakai adalah untuk meraikan yang kedua sebab dia ada storage lebih besar. Jadi untuk memudahkan urusan, nak upload dan sunting kesemuanya jadi kami menggunakan telefon tersebut.
“Kalau ada software yang sebagus ini semestinya saya akan memilih produk lokal. Sebenarnya Android juga adalah penyumbang terbesar juga. Jadi benda ni jangan main tangkap muat je,”kata Hazwani.
Dalam pada itu, kakaknya yang juga pemenang Aktres Pembantu Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, Heliza Helmi menjelaskan, sebagai manusia yang memiliki kekurangan dan kelemahan, perkara itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Kita ni memang nobody sebab dan kalau kita tengok Nabi Muhammad SAW yang paling maksum, paling berjuang juga terpalit dengan ujian.
“Jadi kita ni sebagai manusia memang kita ada kekurangan, kelemahan, dan pasti ada sebab dan musabab dan hikmahnya yang mungkin kita tak nampak sekarang.
“Kalau dekat atas kapal kita share berkenaan Hasbunallah wanikmal wakeel, jadi dalam keadaan seperti ini Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati. Tapi kita sendiri tak mampu nak fahamkan semua orang,” jelasnya.
Justeru, Heliza mengajak orang ramai agar sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif terhadap sesama manusia.
“Kita ni manusia, Allah SWT lahirkan dengan fitrah yang baik. Jadi fikir yang baik-baik,” ujarnya.
Terdahulu, isu penggunaan telefon jenama boikot tersebut tular selepas Hazwani dilihat secara terang-terangan memegang dan merakam momen ketika Heliza diumumkan sebagai pemenang pada malam berprestij itu.






