Thiaw perkuat benteng Newcastle

Thiaw perkuat benteng Newcastle


London: Pemain pertahanan antarabangsa Jerman, Malick Thiaw melengkapkan perpindahan tetap ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United dari AC Milan, semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang dengan yuran yang tidak didedahkan, namun dilaporkan bernilai sekitar 35 juta euro (RM172.51 juta).

“Saya sangat teruja untuk menyertai kelab besar ini. Saya tidak sabar untuk memulakan latihan dan berkenalan dengan rakan sepasukan baharu serta semua staf,” kata Thiaw.

“Pengurus (Eddie Howe) menunjukkan visi beliau dan apa yang ingin dilakukan terhadap saya sebagai pemain serta kelab ini, yang sangat mengujakan.

“Saya rasa Newcastle itu sudah cukup untuk menggambarkan segala-galanya. Ia kelab hebat, kelab besar dengan penyokong yang penuh semangat dan saya tidak sabar untuk bertemu mereka di St James’ Park.”

Thiaw yang tiga kali mewakili Jerman menyertai AC Milan dari Schalke 04 pada 2022 dan membuat 85 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang tiga tahun di kelab Serie A itu.

Beliau menjadi pemain ketiga yang dibawa masuk Newcastle pada jendela perpindahan musim panas ini selepas pemain sayap Nottingham Forest, Anthony Elanga dan penjaga gol Southampton, Aaron Ramsdale.

“Kami sangat gembira mendapatkan Malick,” kata Howe.

“Dia pemain yang saya kagumi sejak lama dan seseorang yang akan menambah kualiti sebenar kepada pilihan pertahanan kami.

“Malick masih muda tetapi membawa pengalaman berharga dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL), selain pernah bermain di Bundesliga dan Serie A, yang merupakan kelebihan besar buat kami ketika kembali ke saingan Eropah musim ini.”

Newcastle menamatkan saingan EPL musim lalu di tempat kelima dan akan membuka kempen terbaharu mereka di Aston Villa pada Sabtu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top