Pearly (kiri) dan Thinaah menewaskan pasangan Indonesia untuk mara ke suku akhir Seluruh England pada Khamis. Foto Agensi
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan momentum positif apabila melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Seluruh England 2025 di Birmingham sebentar tadi.
Utilita Arena menjadi saksi pasangan berstatus kelima dunia itu menewaskan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti dalam aksi penuh dramatik pada pusingan kedua secara straight set.
Pearly-Thinaah bermula dengan langkah kanan apabila menang set pertama 21-16 ke atas pasangan Indonesia itu.
Bagaimanapun pada set kedua, debaran menyelubungi peminat apabila Pearly menahan kesakitan ketika beraksi.
Ia selepas pemain berusia 25 tahun itu terjatuh ketika melakukan smash semasa mendahului 14-8 yang mencetukan tanda tanya sama ada dia boleh meneruskan permainan atau sebaliknya.
Biarpun tidak dibenar mendapatkan rawatan daripada pasukan perubatan, namun Thinaah dilihat menyembur spray pada kaki kiri Pearly sebelum pemain itu kembali meneruskan permainan.
Pengorbanan Pearly dan Thinaah akhirnya berbaloi apabila mereka mengesahkan kemenangan 21-14 dalam masa 43 minit permainan.
Pasangan negara bakal berdepan cabaran sengit apabila akan menentang pilihan ketiga kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam saingan suku akhir pada Jumaat.
Pasangan Jepun itu mara selepas menundukkan pasangan adik beradik, Gabriela dan Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-14, 21-19.