BUMI Johor kembali bergema dengan sorakan semangat juang apabila pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Kluang (THOR) dan KL Saracens menguasai pentas Karnival Ragbi Johor 2025 edisi ke-13 yang berlangsung sarat dengan aksi berintensiti tinggi serta semangat kesukanan luar biasa di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin, Johor.
Kedua-dua pasukan muda itu tampil gagah, berdisiplin dan berwibawa untuk menundukkan lawan masing-masing, sekali gus menjulang maruah pasukan dalam kejohanan pembangunan ragbi paling berprestij di selatan tanah air.
Karnival yang menghimpunkan 108 pasukan daripada empat kategori utama Bawah 16 Tahun Lelaki (B-16), Bawah 14 Tahun Lelaki (B-14), Bawah 11 Tahun Lelaki (B-11) dan Bawah 16 Tahun Wanita (X-Rugby) menjadi gelanggang pertarungan taktikal dan kekuatan fizikal yang menonjolkan semangat kental pemain muda turun ke padang tanpa gentar demi mengharumkan nama pasukan masing-masing.
Pasukan THOR membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila mengungguli dua kategori lelaki, masing-masing B-14 dan B-16, selepas menundukkan cabaran sengit Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dalam dua aksi final mendebarkan.
THOR mengungguli B-16 lelaki Karnival Ragbi Johor 2025 . Foto: Persatuan Ragbi Negeri Johor
Kemenangan berganda itu bukan sekadar menobatkan THOR sebagai kuasa baharu ragbi remaja tanah air, malah memperkukuh reputasi mereka sebagai simbol kebangkitan generasi pelapis Johor yang berwibawa dan bermental juara.
Pemain muda penuh karisma, Darwish Arshad Mohd Zaki, menyerlah sebagai Pemain Terbaik B-14, manakala Nor Hakimi Zaini turut menerima pengiktirafan sama bagi kategori B-16 selepas menjadi nadi utama kekuatan taktikal skuad kendalian barisan jurulatih muda berbakat itu.
Kedua-duanya membawa pulang Trofi Pemain Terbaik serta baucar KFV bernilai RM200, selain hadiah kemenangan keseluruhan RM3,000 beserta pingat dan trofi tajaan Nestle (MILO).
Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor (KRNJ), Datuk Mohd Noorazam Osman menyifatkan pencapaian THOR sebagai hasil kejayaan berterusan program pembangunan ragbi negeri Johor yang mula dilaksanakan sejak 2016.
“Harapan saya agar THOR yang bakal mencapai usia penubuhan ke-10 tahun, terus cemerlang sebagai wadah melahirkan anak-anak jati Johor yang suatu hari nanti akan menyarung jersi pasukan ragbi Johor di pentas lebih tinggi.
“KRNJ juga berterima kasih atas sokongan Dialog Group Berhad sebagai penaja utama dan Majlis Sukan Negeri Johor serta barisan penaja lain,” katanya.
Sementara itu, KL Saracens pula menggegar kategori wanita apabila mempamerkan ketangkasan luar biasa untuk menundukkan JJ Ladies dalam final B-16 (X-Rugby).
Keteguhan barisan pertahanan dan kelincahan serangan pantas menjadikan skuad ibu kota itu terlalu ampuh buat lawan.
Kejayaan mereka diraikan dengan hadiah RM2,000 berserta trofi dan pingat, manakala pemain berbakat tinggi, Airish Qaseh Qistina, dinobatkan Pemain Terbaik hasil ketenangan dan visi permainan tajam yang menjadi tunjang kemenangan Saracens.
Kategori B-11 lelaki, pasukan ARPG Reds turut mencuri tumpuan apabila menewaskan TSBI Killerbees dalam aksi dramatik penuh semangat juang.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang RM2,000 bersama trofi dan pingat, manakala pemain muda Aryan Rifqi Mohd Redwan Safwan muncul Pemain Terbaik.
Ringkasan AI
- Bumi Johor bergema dengan sorakan semangat juang di Karnival Ragbi Johor 2025 edisi ke-13
- Pasukan THOR dan KL Saracens menguasai pentas dengan menunjukkan semangat kesukanan tinggi
- Karnival ini menghimpunkan 108 pasukan dalam 4 kategori utama dengan semangat kental pemain muda
- Pasukan THOR menjuarai dua kategori lelaki dan dinobatkan sebagai kuasa baharu ragbi remaja tanah air
- Presiden KRNJ menyatakan kejayaan THOR sebagai hasil program pembangunan ragbi negeri yang berkesan