Tiada arahan larang penjawat awam guna aplikasi Telegram – Fahmi

Tiada arahan larang penjawat awam guna aplikasi Telegram – Fahmi



am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan belum mengambil sebarang ketetapan untuk melarang penjawat awam daripada menggunakan aplikasi Telegram seperti mana dilaksanakan di Belanda.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia kerana isu berkaitan keselamatan membabitkan penjawat awam diuruskan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

“Kita belum mengeluarkan sebarang arahan, kebiasaannya aspek keselamatan ini diuruskan oleh CGSO, namun pada waktu ini kita belum menerima apa-apa arahan serupa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, hari ini.

Media antarabangsa melaporkan, Majlis Perbandaran Amsterdam melarang pekerja kerajaan menggunakan aplikasi Telegram di telefon bimbit mereka kerana bimbang risiko diintip.

Memetik kenyataan Ahli Majlis Perbandaran, Alexander Scholtes, beliau mengesahkan larangan berkenaan dilaksana pada penghujung April lalu dengan aktiviti jenayah dan pengintipan menjadi alasan utama.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, di Malaysia, kerajaan melaksanakan pelesenan ke atas platform media sosial dan sistem pesanan internet bagi menjamin internet lebih selamat untuk rakyat Malaysia.

“Di pihak Kementerian Komunikasi dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia), kita meneruskan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh mengenai aspek pelesenan.

“Kita percaya dengan proses pelesenan itu nanti, semua platform media sosial dan juga sistem pesanan internet akan akur dengan syarat dikenakan untuk menjamin internet yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top