Mohd Yusoff. Foto: Bernama
BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa tiada mana-mana individu dalam kalangan bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (exco) badan induk itu menyuarakan hasrat untuk kembali bertanding setakat ini.
Menurut beliau, rata-rata bekas exco tersebut mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta mahu memberi tumpuan kepada perubahan struktur yang bakal berlaku dalam FAM terlebih dahulu.
Jelasnya, tumpuan kini lebih terarah kepada cadangan penambahbaikan yang mungkin dikemukakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memantapkan semula organisasi tersebut.
“Saya boleh katakan mereka semua tidak menunjukkan apa-apa reaksi untuk bertanding balik atau seumpamanya. Mungkin perkara ini masih baharu bagi mereka.
“Jadi, mungkin mereka lebih berminat untuk melihat apa perubahan yang akan berlaku di FAM dahulu. Kita mahu lihat apa cadangan daripada AFC untuk menambah baik badan induk ini.
“Mungkin kemudian baru mereka putuskan sama ada hendak bertanding semula atau tidak. Tetapi secara keseluruhannya, boleh saya katakan tiada yang sebut secara terus nak bertanding balik. Lebih kepada ingin bersama-sama melihat perubahan,” ujarnya.
Pada Rabu, FAM mengumumkan semua exco badan induk itu meletakkan jawatan serta-merta susulan sekatan dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan kebangsaan itu dan tujuh pemain warisan berhubung pemalsuan dokumen.
Langkah itu membuka ruang kepada AFC membantu FAM menjalankan penilaian dalaman secara menyeluruh.
Menurut statut FAM, satu Kongres Luar Biasa baharu perlu diadakan dalam tempoh tiga bulan bagi memilih kepimpinan baharu.
Ringkasan AI
- Bekas Timbalan Presiden FAM mengesahkan tiada bekas exco FAM ingin bertanding setakat ini
- Bekas exco FAM mengambil pendekatan tunggu dan lihat sambil menunggu perubahan struktur FAM
- Tumpuan diberikan kepada cadangan penambahbaikan dari AFC untuk memantapkan organisasi
- Tiada reaksi untuk bertanding semula, lebih berminat melihat perubahan yang akan berlaku di FAM
- Semua exco FAM meletakkan jawatan susulan sekatan FIFA, membuka ruang untuk AFC membantu penilaian dalaman





