Tiada istilah ‘bulan madu’ buat Young Tigress

Tiada istilah ‘bulan madu’ buat Young Tigress


Skuad Young Tigress akan menyertai saingan MHL bulan depan. Foto KHM

SELEPAS mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja Wanita di Chile tahun depan, skuad hoki remaja wanita negara mungkin tidak berpeluang untuk ‘berbulan madu’ apabila akan membuat persediaan bagi menyertai kejohanan di pentas antarabangsa dan saingan domestik.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pasti akan mencongak strategi terbaik untuk merangka persiapan rapi bagi memastikan skuad Young Tigress berada pada tahap terbaik sebelum bersaing di pentas berprestij tersebut.

Malah pengurus pasukan, Datuk Mohd Saiyuti Abd Samat mengakui Young Tigress akan menyertai jelajah bagi mendedahkan para pemain dengan perlawanan kompetitif.

Beliau berkata, pasukan juga akan menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 yang bermula bulan depan sebagai persiapan awal buat para pemain.

“Kita perlu merancang sesuatu mungkin menyertai jelajah untuk memberikan para pemain lebih pengalaman.

“Langkah pertama kita akan menyertai saingan domestik (MHL) yang turut disertai kelab-kelab ternama di seluruh negara dan para pemain akan mendapat lebih pengalaman menjelang Piala Dunia,” ujarnya.

Saingan MHL bakal disertai kelab Australia, Territory Stingers yang akan menghantar dua pasukan bagi kategori lelaki dan wanita.

Kejohanan tersebut dijadual bermula 4 Januari hingga 22 Februari depan.

Skuad Young Tigress melakar sensasi apabila meraih slot ke kejohanan berprestij tersebut selepas membenam cabaran Thailand 6-0 dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam dalam saingan Hoki Piala Remaja Asia (Wanita) di Muscat, Oman pada Ahad.

Malah kejayaan itu juga sejarah baharu skuad hoki remaja wanita apabila layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1989.

Sebagai rekod kejohanan tersebut menawarkan lima slot untuk ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025 di Chile.



Source link

OR

Scroll to Top