September 8, 2024

Tiada keperluan Gerakan kempen di Nenggiri – Dominic

Tiada keperluan Gerakan kempen di Nenggiri – Dominic


KUALA LUMPUR – Tiada keperluan setakat ini untuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos depan.

Ini kerana, kata Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau, demografi pengundi Cina di kawasan itu hanya 0.2 peratus manakala pengundi India hanya 0.02 peratus.

“Jika lihat kepada peratusan pengundi ini, peranan Gerakan pada PRK Nenggiri di kawasan Kelantan ini sangat sedikit.

“Tetapi jika diminta oleh parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), Gerakan akan sedia turun membantu kempen di sana,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal media melaporkan Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah meminta DAP tidak turun berkempen pada PRK DUN Nenggiri.

Razaleigh atau Ku Li dipetik sebagai berkata, tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu turun berkempen di kawasan yang 100 peratus Melayu.

Bagaimanapun, Ku Li yang juga Ketua UMNO Gua Musang hari ini dilaporkan menafikan perkara tersebut dan menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana pihak daripada turun berkempen sama ada di Nenggiri atau di mana-mana kawasan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menetapkan PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos depan dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal 13 Ogos.

PRK itu diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top