najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah Datuk Yusof Haslam memaklumkan setiap tahun beliau akan memanggil jurutera untuk membuat pemeriksaan kediaman banglonya di Taman Melawati, di sini bagi mengelakkan sebarang risiko tanah runtuh atau kejadian tidak diingini.
Yusof berkata, kawasan rumahnya yang terletak di lereng bukit berada dalam keadaan baik walaupun jarak lokasi tanah runtuh yang berlaku kelmarin hanya 500 meter daripada kediamannya.
“Kira-kira 27 tahun lalu, sewaktu saya dan keluarga awal mendiami rumah ini, memang ada berlaku runtuhan kecil, tetapi saya ikut nasihat jurutera supaya menutup bahagian itu dengan konkrit sebagai langkah keselamatan.
“Malah setiap tahun saya akan memanggil jurutera untuk membuat pemeriksaan. Jadi, insya-Allah tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana saya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan,” katanya.
Dalam masa sama, Yusof menegaskan tiada keperluan untuk dia berpindah ke kawasan lain kerana rumah itu sudah menjadi sebahagian dalam hidupnya.
“Hidup dan mati saya, Insya-Allah di rumah ini. Saya sayang rumah ini. Tiada keperluan untuk tinggalkan rumah ini.
“Rumah ini terlalu banyak kenangan buat saya dan isteri. Di rumah inilah anak-anak saya dibesarkan, rumah ini jugalah tempat anak saya berkahwin, dan di sini juga filem Sembilu difilemkan,” katanya.
Tambah Yusof, kesedaran mengenai keselamatan kediaman yang didiami lebih tinggi sejak berlakunya insiden tanah runtuh di kawasan rumahnya.
“Saya tak berani nak kata 100 peratus kawasan rumah saya selamat, sebab kalau Tuhan kata nak berlaku, siapa saya untuk menolak? Cuma setakat ini, Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja.
“Apapun masih perlu berhati-hati. Dulu kami kurang pengalaman, tapi sekarang, saya lebih tahu apa yang perlu dilakukan untuk keselamatan keluarga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd