Tiada kompromi anggota PDRM terlibat sindiket dadah

Tiada kompromi anggota PDRM terlibat sindiket dadah


PAPAR: Tiada kompromi terhadap pegawai atau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya tidak akan bertolak-ansur terhadap mana-mana individu termasuk pegawai PDRM yang terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

“Kita tidak akan bersekongkol malah, kita akan ambil tindakan tegas sekiranya mereka terlibat. Kita ambil tindakan yang sama seperti orang biasa..orang normal.

“Tiada layanan double standard (pilih kasih) terhadap pegawai, semua sama kalau anggota terlibat sama, kita ambil tindakan,” katanya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat JSJN bersama Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di PGA Kinarut, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha membanteras jenayah narkotik di negara ini, PDRM mempunyai Sekretariat Nurleus Narkotik (SNN) di seluruh negara dan salah satunya di Sandakan.

Katanya, SNN berperanan untuk bertukar-tukar maklumat risikan dengan rakan sejawat di negara jiran serta menjadi barisan pertama yang akan memaklumkan tentang sebarang sindiket pengedaran dadah.

“Apabila SNN mendapat maklumat, mereka akan maklumkan kepada kita bagi membolehkan kita merancang tindakan seterusnya seperti menangkap dan merampas.

“Semalam, saya sudah melawat SNN di Sandakan yang berperanan untuk mengawal seluruh Sabah. Peranan SNN amat mustahak sebagai barisan hadapan dalam menangani jenayah narkotik,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top