Tiada lagi kenderaan, jualan NGV mulai tahun depan – Anthony Loke

Tiada lagi kenderaan, jualan NGV mulai tahun depan – Anthony Loke


KUALA LUMPUR – Semua kenderaan yang menggunakan gas asli (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan atas jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.

Menurutnya, Petronas juga akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat dalam pasaran negara sebelum penamatan sepenuhnya bermula tarikh sama.

“Keputusan itu diambil atas beberapa faktor, termasuk isu keselamatan kepada pengguna terutama pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV.

“Berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah antara 1995 sehingga 2014.

“Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan yang terbabit pada hari ini sudah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti,” katanya pada sesi pengumuman Dasar Pengunaan Kenderaan NGV di Stesen Petronas Jalan Cochrane Perkasa, di sini, hari ini.

Anthony berkata, tangki NGV mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan tempoh 15 tahun dan tidak selamat jika tidak diganti, selain boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa yang boleh mendatangkan kecederaan, kematian serta kerosakan harta benda.

Selain itu kata beliau, terdapat segelintir pengguna yang sudah melaksanakan ubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang amat berbahaya dan mendatangkan risiko kemalangan serta letupan sebelum ini.

“Silinder LPG hanya mempunyai tekanan sekitar 7 bar/100 psi berbanding tangki NGV yang mempunyai tekanan sehingga 220 bar/3,200 psi.

“Penggantian menggunakan komponen-komponen tulen pula akan memakan kos yang tinggi sehingga boleh melebihi RM7,000 bagi setiap kenderaan,” ujarnya.

Tambah beliau, alat ganti NGV terutama tangki tulen amat sukar diperoleh di pasaran tempatan.

“Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas diterima, terdapat pemilik kenderaan sudah menggunakan alat ganti daripada tangki yang digunakan atau pengubahsuaian tidak diiktiraf, termasuk menggunakan tangki gas LPG.

“Semua perkara ini akan mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top