KUALA LUMPUR: Pelakon, Zahiril Adzim berpendapat tiada masalah sekiranya penerbit tempatan terus mengangkat isu kecurangan sebagai tema utama drama kerana ia mencerminkan realiti kehidupan masyarakat.
Bagaimanapun, menurut Zahiril atau Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, 41, mutu penceritaan drama bertemakan kecurangan perlu diperbaiki agar tidak kelihatan klise.
“Bagi saya, kisah curang bukan satu masalah kerana realitinya perkara itu memang berlaku setiap hari. Malah, ketika kita sedang berbual ini pun mungkin ada sahaja kes kecurangan berlaku di luar sana.
“Namun, perkara yang boleh diperbaiki adalah dari segi eksekusi, cara bercerita dan kualiti penceritaan itu sendiri supaya ia tampil lebih segar dan bermutu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengambil contoh industri hiburan negara jiran serta Korea Selatan, Zahiril berkata, naskhah luar negara juga sering mengangkat tema yang sama, namun diolah dengan pendekatan kreatif selain disokong bajet mencukupi sehingga mampu memikat penonton global.
Mengulas perkembangan kandungan drama Melayu, pelakon filem Bunohan itu mengakui industri seni sememangnya beroperasi sebagai sebuah perniagaan yang mementingkan keuntungan.
Namun, beliau berharap penerbit tidak terlalu selesa bersandarkan alasan ‘mengikut kehendak penonton’ tanpa berusaha melakukan perubahan terhadap kandungan drama tempatan.
“Memang benar penerbit mahu mencari keuntungan dan menghasilkan karya yang diminati penonton, tetapi pada masa sama saya percaya kita boleh mula mengubah kandungan drama sedikit demi sedikit.
“Janganlah kita terlalu selesa dengan alasan ‘penonton mahu begini’. Kita perlu berani melakukan perubahan yang lebih besar dan drastik demi masa depan industri drama Malaysia yang lebih berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Zahiril menolak tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa drama tempatan kosong dan tidak mempunyai pengajaran. Jelasnya, setiap naskhah pasti mengandungi mesej tertentu, bergantung kepada cara penonton menafsirkannya.
“Jika penonton mencari perkara positif, mereka akan menemui mesej positif. Jika sebaliknya, itulah yang mereka peroleh.
“Namun secara peribadi, saya percaya setiap drama tempatan tetap membawa mesej yang baik untuk disampaikan,” katanya. -UTUSAN






