PENGENDALI Southampton, Ivan Juric menegaskan bahawa misi untuk mencuri mata di Anfield bukan sesuatu yang mustahil biarpun The Saints kini terperosok di dasar Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kunjungan ke laman pendahulu liga, Liverpool dilihat sebagai cabaran besar, namun Juric tetap optimis biarpun hanya mengumpul sembilan mata dan kekalahan dalam majoriti 27 perlawanan, Southampton berdepan tugas sukar.
“Tiada misi mustahil…kami akan cuba yang terbaik dan lihat apa yang berlaku. Sebelum perlawanan, saya sentiasa optimis dan selepas itu, mungkin saya berfikir berbeza.
“Tetapi sebelum perlawanan, saya sentiasa melihat kemungkinan untuk melakukan sesuatu yang baik,” kata Juric.
Pada masa sama Juric mengakui kekuatan Liverpool di bawah kendalian Arne Slot.
“Apabila anda bermain menentang Liverpool, kadang-kadang anda perlu bersedia untuk ‘mati’ di padang.
“Jika anda melakukan sesuatu, mereka akan mencari cara lain untuk mengalahkan anda. Jika anda bermain bertahan, mereka akan mencari cara untuk mengalahkan anda. Kami perlu sempurna dalam kedua-dua aspek.
“Kadang-kadang menekan, kadang-kadang bertahan. Kita akan lihat. Kita perlu bermain dengan baik,” kata pengendali kelahiran Split, Croatia itu.
Walaupun mencatatkan sembilan kekalahan dalam 10 perlawanan liga sejak mengambil alih pada Disember, Juric menolak spekulasi mengenai pemecatannya.
“Ia perkara biasa untuk setiap pengurus. Apabila anda mendapat keputusan, semuanya baik.
“Apabila anda tidak mendapat keputusan, anda ada keraguan, atau kelab ada keraguan. Ia situasi biasa. Saya sudah biasa. Untuk setiap pengurus, ia seperti ini, tiada yang istimewa,” kata bekas pengendali AS Roma berusia 49 tahun itu.
Biarpun berada di kedudukan tercorot, Juric turut memuji sokongan padu penyokong-penyokong Southampton.
“Saya tidak ada apa-apa untuk dikatakan. Saya hanya fikir mereka hebat. Mereka peminat yang hebat.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini. Anda berada di dasar liga, mereka menyokong kami. Mereka optimis, positif dan segalanya. Saya hanya boleh mengucapkan terima kasih kepada mereka semua. Tiada yang lain,” ujarnya
Selepas kemenangan menentang Ipswich Town pada awal Februari, Southampton mengalami tiga kekalahan berturut-turut, Juric mengakui situasi ini sukar.
“Saya rasa ada beberapa pengurus yang pernah berada dalam situasi ini, seperti saya sekarang, dengan sembilan mata dan hanya 11 perlawanan sehingga akhir.
“Secara peribadi, ia tidak mudah. Anda perlu kuat dan cuba bekerja dengan pemain. Dekati mereka. Mereka faham mereka masih muda. Ini adalah masa untuk membesar. Ini adalah masa yang mereka perlu ingat pada masa hadapan. Mereka perlu menjadi kuat pada masa ini.
“Saya perlu kuat. Saya perlu berfikir bahawa sesuatu yang baik boleh berlaku dalam masa yang buruk ini. Dan saya fokus pada itu,” katanya