Tiada parti tunggal mampu bentuk kerajaan, BN GRS dijangka seri 18 kerusi

Tiada parti tunggal mampu bentuk kerajaan, BN GRS dijangka seri 18 kerusi


KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dijangka tiada satu parti atau gabungan dijangka mampu meraih majoriti tunggal.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ismail Rakibe berkata, analisis pasca penamaan calon menunjukkan landskap politik Sabah kini berpecah kepada beberapa blok sederhana besar, sekali gus menjadikan rundingan pasca pilihan raya sebagai kunci pembentukan kerajaan.

Namun katanya, berdasarkan unjuran kerusi, dan dengan faktor isu-isu semasa yang medominasi perjalanan kempen, Barisan Nasional(BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat seimbang dan lebih ke depan berbanding parti utama lain.

“Kajian mendapati BN dan GRS masing-masing dijangka memenangi 18 kerusi, diikuti Warisan (16), Pakatan Harapan (14), Perikatan Nasional (3) serta parti kecil dan calon bebas (4).

“Kedudukan ini mengesahkan bahawa DUN tergantung hampir pasti berlaku, memaksa parti-parti utama merekayasa gabungan untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, dua pemacu utama dalam penentuan kerusi ialah undi belia dan dinamik digital.

“Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik menyaksikan kemasukan lebih 660,000 pengundi baharu, menjadikan belia sekitar 30 peratus daripada keseluruhan pengundi.

“Golongan ini tidak lagi terikat kepada kesetiaan politik tradisional, sebaliknya menilai calon berdasarkan integriti, kebolehcapaian dan penyelesaian isu asas seperti bekalan air, elektrik serta peluang ekonomi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail turut berkata, analisis media sosial menunjukkan BN dan GRS mendominasi naratif digital di platform seperti TikTok dan Instagram Reels, dengan BN dilihat lebih agresif dengan strategi calon muda yang hampir 80 peratus muka baharu, sekali gus meningkatkan daya tarikan kepada pengundi generasi baharu.

Menyentuh mengenai persaingan utama antara BN dan GRS, Ismail berkata, situasi itu dapat digambarkan sebagai pertarungan antara kestabilan institusi (GRS) dan pembaharuan politik (BN).

“BN mendapat kelebihan daripada nostalgia era pentadbiran stabil, selain manfaat pecahan undi dalam pertandingan pelbagai penjuru.

“GRS pula bergantung kepada kelebihan penyandang, akses kepada jentera kerajaan dan mobilisasi luar bandar, namun terjejas oleh isu integriti serta kegagalan menyelesaikan masalah asas,” katanya lagi.

Katanya lagi, Warisan masih kukuh di kawasan Pantai Timur dengan meletakkan sentimen tempatan sebagai keutamaan.

“Namun, kekurangan sumber kewangan, struktur akar umbi yang tidak sekata dan persaingan enam penjuru mengehadkan peluang parti itu untuk kembali dominan. Penglibatan digital yang lemah turut menjejaskan daya saing Warisan dalam menarik undi belia,” katanya lagi.

Dengan ramalan keputusan 18–18 antara BN dan GRS, Ismail berkata, kerajaan Sabah seterusnya hampir pasti terbentuk melalui rundingan antara blok utama –BN, GRS, Warisan dan PH serta peranan parti kecil sebagai penentu-UTUSAN

 

 





Source link

OR

Scroll to Top