Tiada PdPR! Sesi persekolahan berjalan seperti biasa – KPM

Tiada PdPR! Sesi persekolahan berjalan seperti biasa – KPM


Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan sesi persekolahan di seluruh negara berjalan seperti biasa dan tiada sebarang keputusan mengenai pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dibuat buat masa ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata kementerian prihatin terhadap kegusaran ibu bapa dan masyarakat susulan berita tular mengenai kemungkinan PdPR.

“Pada masa ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa.
“Keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, serta pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, tular dakwaan bahawa PdPR bakal dilaksanakan susulan cadangan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan diputuskan oleh Kabinet pada Selasa, sebagai langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.

Artikel lain: Fadhlina nafi KPM anjur program di gereja, gesa penyebar fitnah mohon maaf

Konflik tersebut menyaksikan Selat Hormuz ditutup sebagai tindak balas Iran terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel.

Ia sekali gus menjejaskan sekitar 20 peratus daripada 410 juta tan gas cecair asli (LNG) global serta 20 peratus daripada trafik laut dalam untuk penghantaran urea, ammonia, sulfur dan komoditi berkaitan baja lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memaklumkan negara mempunyai simpanan petroleum sehingga Mei depan.

Sumber: Sinar Harian , FB Kementerian Pendidikan Malaysia





Source link

OR

Scroll to Top