Kuala Lumpur: Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menjelaskan cadangan membenarkan pelajar menduduki hanya dua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah isu berasingan daripada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Presidennya Datuk Tan Yew Sing berkata, pertemuan hari ini dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hanya menumpukan kepada usaha membolehkan pelajar sekolah menengah persendirian Cina memohon kemasukan ke universiti awam tempatan, lapor Sin Chew Daily.
Menurutnya, cadangan itu menetapkan keputusan UEC perlu disertakan bersama kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.
“Tiada langsung isu dan perbincangan mengenai pengiktirafan UEC hari ini.
“Kami hanya membincangkan satu perkara, iaitu memastikan pelajar sekolah persendirian Cina boleh memasuki universiti tempatan menggunakan keputusan UEC serta dua mata pelajaran SPM,” katanya.
Beliau menyifatkan aturan berkenaan sebagai satu kepada pendidikan sekolah persendirian Cina.
Beliau turut menegaskan pengiktirafan UEC tidak termasuk dalam agenda perbincangan kerana sesi itu turut disertai wakil sekolah antarabangsa dan sekolah agama.
Katanya, perbincangan lebih tertumpu kepada aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan membabitkan semua pihak berkepentingan.
“Kami langsung tidak membincangkan pengiktirafan UEC hari ini kerana pelbagai jenis sekolah yang hadir dalam mesyuarat berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, Kementerian Pendidikan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pelajar UEC menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah ketika mendaftar peperiksaan SPM.
© New Straits Times Press (M) Bhd





