Nama pendakwah bebas, PU Syed turut terpalit susulan isu melibatkan seorang pendakwah selebriti yang dihukum kerana jenayah seksual susulan memiliki nama yang sama.
Menerusi satu hantaran di Instagram, PU Syed berkongsi mesej seorang individu yang meminta untuk membersihkan nama pengkal Syed.
BACA: “Apa Makna Coach Cerai? Adakah Dia Seorang Bertauliah, Tahu Hukum Hakam?” – PU Syed
Menurut PU Syed, keturunan seseorang tidak memberikan sebarang kelebihan, sebaliknya sentiasa memastikan untuk berada di jalan Allah.
“Kata hamba Allah tu saya kena bersihkan nama Syed. Keturunan ini tak perlu dibersihkan kerana ianya adalah anugerah Allah. Tiada kebangaan dan tiada rasa megah dengan pangkal Syed berada di depan nama.
“Yang perlu dibersihkan adalah orang-orang yang membawa nama Syed itu. Sudah pasti di sana akan ada manusia yang tergelincir dari landasan yang benar maka tugas kita semua, untuk menyelamatkan saudara kita tak kira apa keturunananya,” katanya.
Sementara itu, PU Syed berkata kes melibatkan pendakwah selebriti dijadikan iktibar buat semua pendakwah.
“Apa yang berlaku kepada selebriti tu boleh menjadi ibrah buat semua pendakwah. Semua kita ada nafsu dan sudah pasti terdapat gerombolan syaitan yang akan selalu menghasut sehingga kita terbabas,” katanya.
Dalam pada itu, PU Syed turut menitipkan nasihat agar tidak lagi menyebarkan aib pendakwah selebriti itu kerana dia sudah menerima hukuman.
“Dia didapati bersalah, dan sudah mula dikenakan hukuman atas perbuatannya itu. Kita tak boleh nak berterusan menyebut keaibannya. Dosa dengan Allah ni bila mana Muslim bertaubat kepadaNya, Allah akan terima.
“Kita pula yang tak habis-habis mencanang dosa? Yang pernah dilakukan oleh orang lain, apalah nasib kita nanti di akhirat sana,” katanya.






