aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Barisan pelumba berbasikal negara dijangka berdepan laluan berliku apabila membuka kempen di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, esok.
Ia kerana, ia satu-satunya kejohanan tahun ini bagi pelumba mengutip mata sebelum beraksi di Kejohanan Dunia yang akan bermula dari 15 hingga 19 Oktober di Santiago, Chile.
Justeru, ketua jurulatih berbasikal negara, Harnizam Basri tidak menetapkan sasaran tinggi dari segi kutipan pingat biarpun barisan pelumba negara berada di prestasi terbaik selepas beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai dengan kejayaan meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa, baru-baru ini
Tegas Harnizam, biarpun tidak menolak peluang untuk pingat itu tetap terbuka, beliau mahu semua enam pelumba terus fokus untuk mempertingkatkan prestasi.
“Sukar untuk kita sasar pingat kerana pelumba Eropah berada di prestasi terbaik memandangkan mereka baru selesai kejohanan peringkat benua, sama seperti kita yang baru selesai ACC.
“Malah kejohanan Piala Negara-Negara ini satu-satunya peluang untuk semua pelumba mengukuhkan kedudukan dari segi ranking bagi membolehkan mereka beraksi di Kejohanan Dunia kelak.
“Jadi persaingan itu memang akan sangat sengit dan saya harap pelumba kita akan dapat buat catatan masa yang lebih baik berbanding ketika di ACC tempoh hari selain dapat mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam acara keirin,” katanya.
Begitupun Harnizam difahamkan pelumba terbaik yang juga juara Olimpik dari Belanda Harrie Lavreysen tidak bertanding, tetapi hampir semua pelumba terbaik mereka yang lain akan hadir.
Turut dimaklumkan Great Britain dan Jepun akan menghantar penunggang terbaik mereka.
Skuad negara membuka tirai saingan dalam acara pecut berpasukan lelaki esok yang membabitkan Fadhil Zonis, Ridwan Sahrom dan Akmal Nazimi Jusena.
Shah Firdaus Sahrom yang akan beraksi dalam acara pecut individu dan keirin selepas itu.
Manakala bagi kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Alyssa Farid akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu.
Ketika ditanya tahap kecergasan Shah Firdaus, Harnizam memaklumkan pelumba kelahiran Johor itu sudah pulih daripada kecederaan lutut namun ada kalanya sakit itu masih terasa.
Begitupun, katanya, apa yang penting bagi Shah di Konya adalah mengutip seberapa banyak mata bagi memastikan dia terus berada di kedudukan 10 terbaik dunia dalam kedua-dua acara iaitu keirin dan pecut.
© New Straits Times Press (M) Bhd