Tiada satu kumpulan pun diabai dalam pindaan RUU Perlembagaan Persekutuan

Tiada satu kumpulan pun diabai dalam pindaan RUU Perlembagaan Persekutuan


KUALA LUMPUR – Tiada satu pun kumpulan masyarakat terkecuali mahu pun diabaikan dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan perkara itu ekoran kebimbangan timbul dalam kalangan orang asal, anak negeri serta pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Orang asal, anak negeri dan pribumi dalam Perlembagaan Persekutuan, kumpulan ini ditafsirkan dengan jelas adalah warganegara Malaysia secara kuat kuasa undang-undang.

“Ia dinyatakan dalam Perkara 160 dan Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan. Tak berbangkit apa jadi pindaan ini kepada status orang asal, anak pribumi Sabah dan Sarawak.

“Tentu ada prosesnya, kena ada sijil perkahwinan, kena ada bukti-bukti lain seperti mana yang diperlukan sesuai dengan Akta Ibu yang menyusul peruntukan di dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, semua anak pemegang status pemastautin tetap kategori pertama iaitu warga asing sepenuhnya boleh menuntut taraf kewarganegaraan asal ibu bapa mereka.

“Ibu dan bapa bertanggungjawab melaporkan kelahiran anak-anak mereka di kedutaan negara asal masing-masing agar mendapat taraf kewarganegaraan negara asal mereka.

“Pindaan pemberian taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang adalah bertujuan bagi mengelak anak-anak pemastautin tetap memiliki dwi kewarganegaraan,” katanya.

Selain itu, kerajaan akan memastikan pemegang status pemastautin tetap atau MyPR tidak mempunyai permit masuk atau dokumen perjalanan negara asing yang melibatkan kira-kira 30,000 individu dipermudah dan diutamakan urusan permohonan kewarganegaraan.

“Kategori kedua ini merujuk kepada anak angkat, mereka yang lahir sebelum merdeka dan mereka yang berada di sini sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Pasukan Kementerian Dalam Negeri sudahpun siap memuktamadkan garis panduan permohonan yang amat jelas dan telus khususnya untuk Perkara 15A dan 19(1),” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top