MELAKA: Tiada individu atau kepentingan peribadi yang lebih besar daripada perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan anggota tidak seharusnya menyebabkan parti berpecah sehingga menjejaskan kekuatan jentera di peringkat akar umbi.
“Kadang-kadang mungkin wujud perbezaan pandangan dan pendekatan dalam kalangan kita. Namun janganlah perbezaan itu menyebabkan kita lupa bahawa kekuatan sebenar kita bukan terletak pada mana-mana individu atau kelompok, tetapi pada kesatuan dan kebersamaan keseluruhan parti.
“Kalau kita cucuk sesama sendiri di atas, yang akhirnya menjadi mangsa adalah jentera di bawah. Cabang berpecah, ranting berpecah, anggota keliru, jentera menjadi lemah, dan akhirnya lawan politik kita yang mendapatkan keuntungan. Kita mesti bekerjasama sebagai satu keluarga.
“Ingat, tiada siapa yang lebih besar daripada parti. Tiada kepentingan peribadi yang lebih besar daripada perjuangan. Kalau ada perbezaan, kita duduk sebumbung. Kalau ada masalah, kita selesaikan sebagai satu keluarga. Kalau ada ego, kita ketepikan kerana matlamat kita jauh lebih besar daripada mana-mana isu ini.
“Mempertahankan parti dan Presiden tidak bermaksud kita tidak boleh menegur. Kita boleh menegur, kita boleh berbeza pandangan, tapi kita mesti kuat, kita mesti bersatu hati, kita mesti bergerak sebagai satu pasukan kerana akhirnya apabila Keadilan kuat, Kerajaan MADANI kuat,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ramanan mengingatkan anggota supaya tidak terpengaruh dengan usaha pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan rakyat melalui sentimen perkauman demi meraih sokongan politik.
“Ada pihak yang sengaja nak api-apikan sentimen perkauman untuk meraih undi dan ada pihak cuba memecah-belahkan perpaduan dalaman parti.
“Jangan kerana mahu menang politik, cuba pecahkan rakyat Malaysia mengikut warna kulit, agama atau keturunan. Kita boleh berbeza parti, kita boleh berdebat dengan keras tentang dasar, tetapi jangan sekali jadikan kaum sebagai modal politik,” katanya.
Ramanan pada masa sama mengajak anggota PKR menetapkan tekad untuk memastikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri bagi satu penggal lagi demi meneruskan agenda reformasi.
“Saya harap sebelum kesemuanya keluar daripada kongres ini, kita ambil dan kita tinggal dengan satu tekad.
“Kita mahu PMX kekal satu penggal lagi. Baru boleh reformasi selesai, baru boleh perjuangan selesai, baru boleh kerja kita selesai,” katanya. – UTUSAN
