Tiada wakil negara ke final Terbuka Macau

Tiada wakil negara ke final Terbuka Macau


MALAYSIA gagal menempatkan wakil di pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau 2026 selepas kesemua pemain negara tersingkir pada aksi separuh akhir, hari ini.

Pada aksi di Macau East Asian Games Dome, beregu campuran profesional negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing menjadi wakil pertama yang terkandas apabila tewas kepada pilihan utama dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 11-21, 22-24.

Turut menerima nasib sama ialah beregu lelaki profesional Low Hang Yee-Ng Eng Cheong selepas disingkirkan pasangan pilihan keempat dari Indonesia, Ali Faathir Rayhan-Devin Artha Wahyudi, 12-21, 12-21.

Cabaran beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting yang juga pilihan kedua kejohanan, turut berakhir di separuh akhir apabila tunduk kepada juara Terbuka Thailand dari China, Bao Li Jing-Cao Zi Han, 18-21, 13-21.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki Eogene Ewe yang mencipta kejutan menewaskan pilihan kedua dari Singapura, Jason Teh, semalam, gagal meneruskan momentum apabila tewas kepada pemain China, Hu Zhe An, 15-21, 18-21.

Melengkapkan senarai kegagalan wakil negara, satu lagi beregu lelaki Chia Weijie-Teo Ee Yi, turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Jin Yong-Lee Jongmin, 4-21, 11-21. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top