INSIDEN sekumpulan pengayuh basikal yang ‘bertikam lidah’ dengan pemandu bas kerana didakwa menghalang laluan kenderaan berat di Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur baru-baru ini mencetuskan perhatian ramai.
Kejadian yang dipercayai berlaku waktu pagi itu tular di media sosial selepas video perbalahan antara kedua-dua pihak dikongsi oleh orang awam.
Malah, pihak polis juga dilaporkan sedang mengesan kumpulan pengayuh basikal itu bagi membantu siasatan.
Isu itu bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, bahkan turut mengundang persoalan tentang adab menggunakan laluan awam dalam konteks agama.
Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, Islam sangat menitikberatkan etika penggunaan laluan awam dan mengecam sebarang bentuk perbuatan yang boleh mengganggu keselesaan pengguna lain.
DR AHMAD SANUSI
“Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW memuji mereka yang menjaga hak jalan, tidak menghalang laluan awam dan menghilangkan sesuatu yang menghalang jalan orang ramai,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.
Jelas ahli akademik itu, betapa besarnya ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang menghormati hak laluan awam sehinggakan Nabi Muhammad SAW menjamin syurga terhadap individu yang menyingkirkan gangguan di atas jalan.
Ia sebagaimana sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya aku melihat seorang lelaki sedang menikmati (kehidupan) di dalam syurga kerana sebatang pokok yang dia tebang dari tengah jalan, yang menghalang laluan orang ramai.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
“Rasulullah mengeji mereka yang mengotorkan atau menyakiti tempat orang lain berehat.

JAGALAH hak-hak pengguna jalan raya yang lain selaras dengan tuntutan agama dengan tidak menyakiti atau mengganggu mereka. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Dalam hadis riwayat Imam Muslim, Baginda SAW mengingatkan supaya kita menjauhi dua perkara yang mendatangkan laknat iaitu membuang hajat di jalan orang ramai atau di tempat mereka berteduh,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan agar kita menjaga hak-hak pengguna jalan raya yang lain selaras dengan tuntutan agama.
“Caranya adalah dengan tidak menyakiti atau mengganggu pengguna lain,” ungkapnya.
Beliau kemudian berkongsikan sebuah lagi hadis berkaitan prinsip asas dalam penggunaan laluan awam.
Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu tetap mahu duduk (di tepi jalan), maka berilah hak jalan itu. Mereka bertanya: “Apakah hak jalan itu?” Baginda menjawab: “Menundukkan pandangan, menahan diri daripada menyakiti (orang lain), menjawab salam, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (Hadis Riwayat Muslim)

BETAPA besarnya ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang menghormati hak laluan awam sehinggakan Nabi Muhammad SAW menjamin syurga terhadap individu yang menyingkirkan gangguan di atas jalan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Melihat ungkapan hadis itu, jelas bahawa prinsip yang diajar oleh Baginda SAW sangat luas dan menyeluruh dengan menyentuh soal adab, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik.
Walaupun sesuatu aktiviti dilakukan atas niat yang baik, Dr Ahmad Sanusi mengingatkan agar kita tidak mencabuli hak sesama manusia.
“Janganlah kerana perkara ini, kita dibenci awam, malah mendapat dosa daripada perbuatan kita sendiri,” titipnya.